
RM310 JUTA UNTUK BANDAR PINTAR MELAKA, FASA PERTAMA BERMULA TAHUN DEPAN
AYER KEROH 12 Disember – Pelaksanaan inisiatif bandar pintar di Melaka yang melibatkan peruntukan sebanyak RM310 juta daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijangka memulakan fasa pertama pembangunan dalam tempoh enam bulan pada tahun hadapan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata projek berskala besar itu merupakan kesinambungan kepada inisiatif terdahulu negeri yang diusahakan bersama MCMC iaitu Kampung Digital.
Katanya, usaha sama itu membuktikan kesungguhan serta hala tuju jelas kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka dalam usaha mendigitalkan pelbagai aspek perkhidmatan.
“Jadi itulah sebab kenapa kalau nak dibandingkan dengan beberapa inisiatif MCMC yang lain, kali ini ia adalah merangkumi seluruh negeri bukan sekadar kawasan bandar, tetapi untuk pastikan dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat.
“Saya percaya kita akan dapat mulakan fasa pertama dalam tempoh mungkin enam bulan tahun 2026 dan akan mengambil sedikit masa.
“Kita akan ada konsultan dan meneliti secara keseluruhan keutamaan yang akan dibincangkan bersama dengan Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran MoU Antara Kerajaan Negeri Melaka dan MCMC yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta lain-lain kenamaan.
Terdahulu, majlis pertukaran MoU berkenaan dimeterai menandakan komitmen bersama Kerajaan Negeri dan MCMC dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur digital sebagai asas kepada pelaksanaan bandar pintar secara menyeluruh di negeri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


