
RM388,750 IMARAHKAN MASJID, SURAU DALAM PARLIMEN TANGGA BATU
PAYA RUMPUT 7 Mac – Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM388,750 kepada masjid dan surau dalam kawasan Parlimen Tangga Batu bagi tujuan mengimarahkan institusi berkenaan sepanjang Ramadan tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan tersebut akan diagihkan kepada 26 masjid dan 102 surau dalam parlimen terbabit.
Katanya, bantuan itu merangkumi pemberian secara ‘one-off ‘kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau, termasuk imbuhan kepada bilal wanita serta penggali kubur.
“Peruntukan ini juga melibatkan pelaksanaan program Ihya’ Ramadan serta bantuan utiliti bagi memastikan kelancaran pengimarahan rumah-rumah Allah sepanjang bulan yang mulia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama YAB Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Masjid As-Solihin, Kariah Taman Seri Paya Rumput, di sini, hari ini.
Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi @Mohd Hasim dan Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri bukan sahaja meneruskan program Ramadan yang sedia ada, malah meningkatkan komitmen bagi menghidupkan masjid dan surau di seluruh negeri ini.
“Usaha ini penting bagi memastikan institusi masjid dan surau di negeri ini terus menjadi pusat penyatuan dan pembangunan masyarakat dan umat Islam khususnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


