
RM39 JUTA LESAP ANGKARA ‘SCAM’ DI MELAKA
BEMBAN 2 Julai – Sebanyak 1,159 kes jenayah siber direkodkan di Melaka dari Januari sehingga 1 Julai tahun ini dengan jumlah kerugian mencecah RM39 juta.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, antara kes tertinggi dilaporkan adalah penipuan pelaburan melibatkan jumlah kerugian hingga mencecah RM1 juta dalam satu kes sahaja.
“Kita dapati trend jenayah siber terutama berkaitan ‘scammer’ ini tidak hanya menjerat golongan kurang berpengetahuan, tetapi turut melibatkan golongan profesional yang mudah terpedaya kerana sifat tamak.
“Ramai terjebak bukan kerana tidak tahu, tetapi kerana terlalu mengejar pulangan cepat dan tidak munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Infrastruktur Komunikasi dan Jenayah Siber Daerah Jasin sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bemban di Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, di sini, hari ini.
Hadir sama; Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar dan Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop.
Menurutnya, walaupun statistik semasa menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu yang mencatatkan kerugian keseluruhan RM78 juta, namun situasi itu dilihat masih membimbangkan.
“Kita tidak tahu ‘pukulan akhir’ kadang-kala melibatkan jumlah kerugian besar. Kita tidak boleh ambil mudah kerana ada kes mencecah RM3 hingga RM5 juta dalam satu laporan.
“Nilai kerugian paling kecil pun RM60, tetapi setiap sen itu tetap berharga,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong menambah, kerjasama dan peranan aktif masyarakat amat penting dalam memerangi jenayah siber termasuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan kemudahan komunikasi atau infrastruktur telekomunikasi.
“Jangan tunggu agensi bertindak sahaja. Penduduk perlu tahu tanggungjawab mereka, jika nampak perkara tidak sepatutnya laporkan segera kepada pihak berkuasa.
“Kefahaman masyarakat terhadap ancaman terkini melibatkan kecerdasan buatan (AI) yang digunakan ‘scammer’ untuk menipu secara lebih sofistikated juga amat penting.
“Sekarang penipuan sudah berevolusi. Ia digabung dengan AI dan pelbagai teknik manipulasi. Sebab itu kita adakan kempen kesedaran seperti ini untuk mempertingkatkan lagi kefahaman rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.