
RM5 JUTA UNTUK PASANG LAMPU JALAN SOLAR, TUMPU KAWASAN GELAP SEKITAR MELAKA
AYER LIMAU 20 Mac – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta bagi pemasangan lampu jalan jenis solar di kawasan-kawasan gelap di seluruh negeri ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pemasangan lampu jalan baharu itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua bulan selepas proses pelantikan konsesi selesai.
Katanya, inisiatif itu merupakan langkah berterusan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan penduduk khususnya di kawasan luar bandar.
“Daripada peruntukan tersebut pecahannya RM3.5 juta adalah lampu jalan di bawah Kerajaan Negeri manakala RM1.5 juta di bawah jalan Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
“Keutamaan akan diberikan di lokasi yang dikenal pasti gelap dan berisiko termasuk laluan utama penduduk serta kawasan perumahan.
“Antara kawasan yang diberi tumpuan termasuk di Jasin seperti Rim, Asahan selain beberapa lokasi di Machap, Alor Gajah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa Bersama Poghut Ayer Limau di kediamannya, di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut Hameed berkata, penggunaan lampu solar dipilih kerana lebih efisien dan tidak bergantung kepada bekalan elektrik secara langsung serta mesra alam.
“Anggaran kos bagi satu unit lampu solar adalah sekitar RM7,000, sekali gus membolehkan lebih banyak pemasangan dilakukan berdasarkan peruntukan yang disediakan.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri dalam menambah baik infrastruktur, seiring dengan pertambahan kawasan pembangunan dan jaringan jalan di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

