Sorting by

×

RM510,000 KOS SELENGGARA ENAM JALAN LADANG ROSAK DI KUALA LINGGI

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SERI NEGERI 10 Disember – Enam jalan ladang sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi yang mengalami kerosakan akibat bencana banjir saban tahun akan diselenggara bermula tahun hadapan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri telah memohon peruntukan sebanyak RM510,000 kepada Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri Melaka (MARRIS) bagi tujuan pembaikan terbabit.

Katanya, enam jalan ladang yang mengalami kerosakan melibatkan Jalan Permatang KUIM, Jalan Pertanian Tanjung Dahan 1, Jalan Pertanian Telok Gong, Jalan Pertanian Kampung Ladang 2, Jalan Pertanian Air Molek 1 dan Jalan Pertanian Lubok Redan 2.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan untuk membaiki jalan-jalan ladang yang rosak akibat banjir saban tahun dan setiap kali selepas berlakunya bencana, JPS akan melakukan pemeriksaan kepada jalan-jalan terbabit.

“Kerajaan Negeri cakna akan kerosakan jalan-jalan ladang ini, pembaikan turut mengambil kira menerusi aduan awam atau tinjauan berkala JPS ke lokasi-lokasi hotspot banjir ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosli Abdullah (BN- Kuala Linggi) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Hameed turut memaklumkan, JPS kerap melaksanakan pemeriksaan di lokasi terlibat selain menyenaraikan kerja-kerja pembaikan yang perlu dilaksanakan.

“Kerja-kerja pembaikan akan terus dilaksanakan setelah peruntukan diterima daripada MARRIS oleh JPS kerana jalan-jalan ladang dibawah seliaan jabatan tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

335
Kongsi :
Previous post BAJET NEGERI MELAKA 2026: MPJ BINA DUA TAPAK PENJAJA BERPUSAT DI JASIN
Next post 129 WARGA EMAS DITEMPATKAN DI RSK CHENG