Sorting by

×

RM660 JUTA BINA LOJI WTE KEDUA NEGARA DI SUNGAI UDANG

Masa Membaca:2 Minit, 40 Saat

PUTRAJAYA, 20 Jun – Projek pembinaan Loji Waste-to-Energy (WtE) kedua dalam negara akan dibina di Sungai Udang, Melaka dengan nilai pelaburan RM660 juta, dan ia dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 2029.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam ucapannya berkata projek WtE Sungai Udang itu dilaksanakan secara Request for Proposal melalui proses tender terbuka, dan akan dilaksanakan menerusi pendekatan Kerjasama Awam-Swasta antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama konsortium Malakoff Corporation Bhd dan Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES) melalui model Build, Operate and Own (BOO).

“Loji ini akan menggunakan teknologi stoker grate incineration yang menepati semua keperluan teknikal dan piawaian alam sekitar semasa.

“Pihak konsesi turut menunjukkan komitmen untuk membina relau kedua (second line) pada masa akan datang bagi memastikan kelangsungan operasi tanpa gangguan, tertakluk kepada rundingan perjanjian baharu kelak,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Loji WtE Sungai Udang, Melaka, di sini, semalam.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib; Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Swcorp) Hee Loy Sian; dan Pengarah Syarikat Sungai Udang WtE Sdn Bhd Anwar Syahrin Abdul Ajib, serta disaksikan Nga.

Nga berkata loji WtE Sungai Udang dijangka mampu memproses sehingga 1,000 tan sisa pepejal setiap hari, menjana 22 megawatt (MW) tenaga elektrik, dan mengurangkan lebih 259,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun bersamaan dengan impak penanaman lebih empat juta pokok.

Beliau berkata loji itu juga akan dilengkapi dengan sistem rawatan air larut resap berkapasiti 96 meter padu, yang akan dibina di atas tanah seluas 9.8 ekar di tapak pelupusan Sungai Udang sedia ada.

Dari segi pelaksanaan, Nga berkata pembinaan loji akan bermula pada tahun depan dan mengambil tempoh masa tiga tahun selepas memenuhi pelbagai syarat awal yang telah ditetapkan.

Ia termasuk kelulusan penting seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Kajian Impak Sosial (SIA), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), Pelan Struktur Sisa (PSS) serta beberapa dokumen teknikal lain yang perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan dan kelestarian projek.

“Tempoh konsesi bagi projek ini ditetapkan selama 34 tahun termasuk tiga tahun tempoh pembinaan. Loji WtE Sungai Udang, Melaka ini disasarkan untuk mula beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2029, malah penamatan konsesi serta proses perobohan loji dijadualkan berlaku pada tahun 2061,” katanya.

Nga dalam pada itu berkata jumlah sisa pepejal yang dijana oleh rakyat Malaysia diunjurkan meningkat kepada 17.03 juta tan metrik menjelang tahun 2035.

Beliau berkata peningkatan itu memberikan isyarat jelas bahawa penggunaan tapak pelupusan semata-mata bukan sahaja tidak mampan, malah tidak lagi mencukupi untuk menampung pertambahan sisa yang berterusan.

“Sudah tiba masanya kita menilai semula pendekatan semasa dan beralih kepada penyelesaian yang lebih lestari. Teknologi WtE muncul sebagai antara pemacu utama dalam transformasi sistem pengurusan sisa pepejal negara.

“Langkah ini dijangka menyumbang sehingga 600MW tenaga boleh baharu (TBB), sebagai sebahagian daripada strategi untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050,” katanya.

Loji pertama WtE siap dibina pada 2023 di Ladang Tanah Merah, Port Dickson, Negeri Sembilan dengan kapasiti pemprosesan 800 tan sisa sehari dan penjanaan tenaga sebanyak 15MW.

WTE merupakan teknologi yang mengubah bahan buangan yang tidak boleh dikitar semula menjadi tenaga, seperti haba, elektrik, atau bahan bakar. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

587
Kongsi :
Previous post SERANGAN JANTUNG PUNCA KEMATIAN NURULEFFANDY – POLIS
Next post PENYU KARAH KHAZANAH TIDAK TERNILAI MELAKA – WWF-MALAYSIA