
‘ROBLOX KINGDOM OF DUYONG KITA’ PROMOSI PELANCONGAN SECARA MAYA
DUYONG 27 Julai – Inisiatif mempromosikan sektor pelancongan di Duyong dilakukan dengan cara sedikit berbeza iaitu dengan memperkenalkan permainan video popular dalam kalangan kanak-kanak, ‘Roblox’.
Dinamakan ‘Roblox Kingdom Of Duyong Kita’, permainan video yang dibangunkan Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST) itu kini secara rasmi boleh dimainkan orang ramai selepas ia dilancarkan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, permainan maya berkenaan bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya bertujuan mempromosikan produk dan aset pelancongan menarik yang terdapat di sekitar kawasan Duyong.
“Dalam permainan ini, pemain boleh mengumpul mata yang kemudiannya boleh ditebus dengan pelbagai hadiah barangan eksklusif untuk permulaan.
“Setakat ini, seramai 600 orang telah pun bermain dan kebanyakannya adalah kanak-kanak, namun ia juga menarik perhatian golongan remaja dan dewasa,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Penutup Program WRUR DUN Duyong di Dewan Terbuka Semabok Dalam yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.
Terdahulu, pada majlis itu, Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital negeri telah meluncurkan permainan video ‘Roblox Kingdom Of Duyong’ secara rasminya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi MiCoST memaklumkan permainan video itu tercetus selepas melihat popularitinya dalam kalangan kanak-kanak, termasuknya anaknya sendiri.
Bertitik tolak daripada itu, beliau mendapat idea agar permainan video tersebut dibangunkan bagi mempromosikan kawasan pelancongan yang ada di sekitar Duyong antaranya, Perkampungan Hang Tuah dan Perigi Hang Tuah.
“Diharap usaha ini dapat memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan, di mana ia boleh bukan sahaja membantu dalam sudut promosi bahkan mengetengahkan apa yang ada di Melaka.
“Duyong telah membuka jalan bagi permainan video interaktif ini, jadi diharap ia dapat membuka lebih banyak lokasi dan produk pelancongan lain di negeri ini untuk bersama dalam permainan seperti ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.