
SENI RONGGENG ADALAH WARISAN BUDAYA, BUKAN UNSUR NEGATIF
BANDA HILIR 3 Julai – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka menyambut baik cadangan penggiat seni untuk mengangkat semula seni warisan tari ronggeng Melaka melalui program Bicara Budaya agar terus dilestarikan.
Namun, pada masa sama menegaskan bahawa sebarang langkah pemuliharaan dan pemasyhuran tarian itu akan diteliti serta diperhalusi secara menyeluruh sebelum dijadikan sebagai produk pelancongan budaya negeri.
Menurut Pengarah JKKN Negeri Melaka, Ezlina Alias, seni ronggeng bukanlah budaya negatif seperti yang sering disalahertikan oleh segelintir pihak, sebaliknya merupakan satu bentuk warisan seni dan budaya luhur masyarakat Melaka yang sarat nilai estetika, adab, serta jati diri bangsa.
“Ronggeng bukanlah tarian bebas atau tidak beradab. Ia mempunyai rukun dan tertib tersendiri. Malah, dalam ronggeng rakyat tradisional, tiada elemen sentuhan fizikal secara bebas seperti yang digambarkan sesetengah pihak,” jelas beliau kepada pemberita selepas program Bicara Seni Budaya yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Muzium Rakyat, di sini, semalam.
Katanya lagi, pihak JKKN komited untuk memperhalusi bentuk pemugaran dan persembahan ronggeng agar kekal autentik, beretika dan sesuai dengan norma masyarakat hari ini.
“Kita akan teliti bentuk persembahan, konteks sosial, dan persepsi khalayak agar pelestarian ini tidak bercanggah dengan nilai budaya, malah dapat mendidik masyarakat akan warisan sebenar seni Melayu,” ujarnya.
Tambah beliau, cadangan mengangkat semula seni ronggeng sebagai daya tarikan pelancongan juga mendapat perhatian kepimpinan negeri.
“Sepertimana yang disebut oleh Ketua Menteri Melaka, seni ronggeng ini akan diteliti dan diperhalusi terlebih dahulu dan kerajaan negeri menyambut baik hasrat mengangkat kembali seni budaya ini selagi ia tidak melanggar hukum syarak sebelum sebarang cadangan dibawa ke peringkat pelaksanaan sebagai produk pelancongan seni dan budaya baharu,” katanya.
Menurut Ezlina, kajian oleh Felo Penyelidik, Prof. Dr. Mohd Anis Md Nor selama lebih 12 tahun mendapati bahawa asal-usul ronggeng mempunyai akar kuat di Melaka, menjadikannya warisan yang wajar dipulihara.
“Kita perlu hargai sejarah dan nilai seni ini. Sayang sekali jika kita biarkan ia pupus begitu sahaja. JKKN Melaka akan terus memperjuangkan pelestarian seni warisan termasuk ronggeng, dondang sayang, dan pantun,” tambahnya.
Jelas beliau lagi, persembahan ronggeng rakyat pernah dipentaskan sempena Melaka Bila Larut Malam di Stadthuys tahun lalu telah mendapat sambutan hangat daripada pengunjung dan pelancong, sekali gus membuktikan potensi komersial dan nilai tarikannya jika diolah secara bertanggungjawab.
Sementara itu, menyentuh mengenai program Bicara Seni Budaya tahun ini, Ezlina memaklumkan seramai 11 pemakalah termasuk dari Indonesia telah membentangkan hasil dapatan dalam bidang seni persembahan dan estetika budaya.
“Seni budaya bukan sekadar hiburan semata-mata. Di sebalik persembahan, terdapat makna, nilai dan pengajaran yang membentuk sahsiah masyarakat. Inilah yang ingin kita ketengahkan melalui forum seperti ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.