Sorting by

×

RONGGENG MELAKA WARISAN SENI YANG DISALAH TAFSIR

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDA HILIR 5 Julai – Kerajaan Negeri
menyambut baik hasrat dan cadangan penggiat seni untuk mengkaji serta meneliti dengan lebih mendalam mengenai Ronggeng Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu disifatkan wajar memandangkan Ronggeng Melaka yang sebenarnya bukanlah berbentuk tarian atau hiburan melalaikan seperti disalah tafsir sesetengah pihak, sebaliknya ia membawa makna yang lebih luas dan mendalam.

Katanya, Ronggeng Melaka adalah nama baharu bagi warisan seni budaya yang terkenal suatu masa dahulu dan akan dibugarkan kembali.

“Ronggeng Melaka bukan sekadar seni hiburan, tetapi merangkumi pelbagai bentuk seni budaya di dalamnya seperti Dondang Sayang, pantun, langgam dan irama pelbagai kaum termasuk Melayu, Baba dan Nyonya, Chetti, Portugis, Cina dan India.

“Penjenamaan ini bertujuan menyatukan seluruh warisan budaya tersebut sebagai satu identiti bersama yang mempamerkan kekayaan dan kepelbagaian seni budaya Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Malam Gala Rentak Bertandak Antarabangsa Melaka 2025 di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Img 20250705 040837 403
PERSEMBAHAN kebudayaan yang mewarnai Malam Gala Rentak Bertandak Antarabangsa Melaka 2025 di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir. Foto Afiq Mustaffa

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, usaha tersebut dijangka dapat memperkukuh penghayatan budaya tempatan dalam kalangan generasi muda serta mempromosikan keunikan Melaka di peringkat lebih tinggi.

“Hakikatnya, penjenamaan baharu ini lebih kepada usaha memperkenalkan semula pelbagai seni budaya dalam bentuk yang tersusun dan beridentiti,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

546
Kongsi :
Previous post 10,000 MERIAHKAN MALAM GALA RENTAK BERTANDAK ANTARABANGSA
Next post WRUR PECAH KEBUNTUAN PENDUDUK LUBOK KASAU