Sorting by

×

RONGGENG RAKYAT DIANGKAT KEMBALI 

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat
BANDA HILIR 2 Julai – Kerajaan Negeri akan mengangkat semula Ronggeng Rakyat dan menjadikannya sebagai tarikan terbaharu buat pengunjung dan pelancong singgah ke Melaka.
Mengulas lanjut Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu akan dilaksanakan bersama-sama dengan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Negeri Melaka.
“Ronggeng Rakyat akan dibudayakan kembali seperti mengangkat Dondang Sayang agar ia dikenali di seluruh nusantara. Kebiasaannya ia adalah lagu-lagu rakyat yang berasaskan pantun, jadi ini akan membuat masyarakat gembira untuk turut serta.
“Kita akan hidupkan Ronggeng Rakyat dan ini (Bicara Seni Budaya) adalah langkah pertama, sebelum disusuli dengan banyak lagi,” kata Ketua Menteri pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Bicara Seni Budaya Tahun 2025 di Dewan PERZIM, Muzium Rakyat, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama Timbalannya, Datuk Zaidi Attan; Pengarah JKKN Negeri Melaka, Ezlina Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP), Prof Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.
Penganjuran wacana ilmiah Bicara Seni Budaya Tahun 2025 dijayakan oleh JKKN Negeri Melaka dan ITP, disusun dengan pelbagai aktiviti seperti Ronggeng Rakyat, Dondang Sayang dan seni halus.
Program itu juga adalah sebahagian daripada aktiviti yang diatur bagi memeriah lagi penganjuran Rentak Bertandak Antarabangsa 2025 bemula hari ini hingga 6 Julai nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4222
Kongsi :
Previous post SENI DAN BUDAYA BENTUK IDENTITI BANGSA
Next post EMPAT KOMITMEN MELAKA LESTARIKAN SENI DAN BUDAYA