Sorting by

×

RONGGENG, WARISAN MELAKA YANG DISALAH ERTI

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Ronggeng wajar diangkat sebagai seni budaya Melayu untuk diwariskan kepada generasi akan datang memandangkan ia memiliki satu nilai estetika yang tersendiri.

Menjelaskan perkara itu, Pengarah Yayasan Seni Persembahan Nusantara, Prof. Dr. Mohd Anis Md Nor berkata, ronggeng sebenarnya merupakan sebuah seni yang merangkumi tiga komponen iaitu berpantun, muzik dan pergerakan dan ia bukanlah semata-mata terkait dengan hiburan.

Menurut beliau, salah faham mengenai ronggeng telah menyebabkan seni itu dikaitkan dengan elemen negatif khususnya sejak pertengahan abad ke-20.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Nusantara Performing Arts Research Centre memaklumkan, seni warisan ronggeng itu berasal dari Melaka dan kemudian berkembang ke Sumatera, Thailand dan wilayah-wilayah lain di sekitar Selat Melaka.

“Ronggeng bermula daripada budaya berpantun berirama seperti dondang sayang yang kemudiannya berkembang dengan irama inang dan joget atau lagu dua.

“Ronggeng bukanlah tarian semata-mata, ia bermula dengan pantun yang didendangkan secara berirama, diiringi alat muzik seperti gendang, biola dan akordian seterusnya ada gerakan atau ‘menandak’ lahir secara semula jadi daripada lagu dan pantun itu, tiada koreografi tarian diperlukan untuk ronggeng ini.

“Ramai yang tersalah anggap mengenai ronggeng sebagai joget lambak, karbaret, namun kesemua ini salah. Ronggeng lebih tua dari kedua-dua bentuk hiburan itu dan mempunyai struktur seni yang jelas,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Prof. Dr. Mohd Anis turut menjelaskan bahawa salah faham mengenai ronggeng itu timbul apabila ia dijadikan asbab kepada gejala sosial dalam era tertentu terutama ketika kemuncak ekonomi zaman kolonial.

“Namun begitu, sejarah menunjukkan pengaruh luar yang negatif telah mencemari seni ronggeng itu sendiri.

“Justeru saya harap kegemilangan seni ronggeng dapat dilakukan dengan mengangkat kembali nilai budaya serta kesenian asli yang telah lama diamalkan masyarakat Melaka yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budayanya.

“Ronggeng adalah hiburan muzikal masyarakat yang membina dan tiada unsur tidak bermoral jika ia dihidupkan dalam acuan yang betul seperti majlis perkahwinan dan acara keramaian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

401
Kongsi :
Previous post ANUGERAH USAHAWAN MELAKA 2025 TERIMA LEBIH 100 PENCALONAN
Next post HARBOUR STREET ‘BELANJA’ ANAK YATIM SEMPENA HARI ASYURA