Sorting by

×

RUMAH BAHARU ROSMARIA ABADI KASIH ARWAH SUAMI

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

ASAHAN 10 April – Rumah baharu hasil perjuangan arwah suami yang bakal siap tidak lama lagi dianggap sebagai ‘hadiah’ paling istimewa dan bermakna buat Rosmaria Arshad, 43, dan tiga anaknya.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, ketika hayatnya arwah suaminya Ahmad Sabtu, ‘berjuang’ dan berusaha keras bagi menyediakan kediaman baharu untuk mereka sekeluarga.

Katanya, usaha itu bagaimanapun terbantut seketika apabila Ahmad, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada Januari tahun lalu.

“Lebih menggusarkan saya apabila tanah untuk tapak rumah ketika itu masih atas nama arwah suami. Syukur kerana YB Along (Datuk Fairul Nizam Roslan) tampil membantu melancarkan urusan pertukaran nama.

“Kami anak-beranak juga mendapat berita gembira apabila permohonan mendapatkan kediaman baharu menerusi Program Melaka Rumahku (PMR) juga hasil usaha arwah suami sudah berjaya.

“Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar saya bersama anak-anak akan berpindah masuk ke kediaman baharu sebelum sabutan Hari Raya Aidiladha nanti,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran PMR Bina Baharu Lembaga Perumahan Melaka bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, di Kampung Jus Permai, di sini, semalam.

Terdahulu majlis disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan.

Ketika ini Rosmaria bersama anak-anaknya tinggal di rumah sewa terletak berhampiran dengan bayaran RM300 sebulan.

“Tidak dinafikan amat gembira kerana kami akan tinggal di kediaman selesa selepas ini, tetapi agak terkilan kerana detik indah itu tidak dapat dikongsi bersama arwah suami.

“Kalau ikut kemampuan pastinya arwah suami atau saya tidak mampu, kami cukup bertuah kerana Kerajaan Negeri begitu prihatin terhadap nasib rakyat kurang berkemampuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

338
Kongsi :
Previous post WRUR ASAHAN: DEWAN TERBUKA ‘HADIAH’ 5 TAHUN PENANTIAN SMK SELANDAR
Next post RUMAH TERBUKA AGENSI AGAMA ISLAM MELAKA MERIAH DALAM KESEDERHANAAN