
RUMAH BAHARU TUJUH BERANAK DIJANGKA SIAP TAHUN INI
SUNGAI UDANG 22 Mei – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan membuat permohonan pembinaan baharu rumah tujuh beranak yang menghuni kediaman uzur dalam tempoh terdekat.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, pembinaan rumah baharu dianggarkan bernilai RM70,000 itu akan dilaksanakan menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).
“Kami akan masukkan permohonan ini dibawah PPKB bagi mendapatkan kelulusan pada peringkat kementerian untuk tindakan seterusnya.
“Menjadi hasrat kami untuk mengusahakan supaya rumah baharu tujuh beranak ini disiapkan dalam tahun ini juga, namun semuanya turut bergantung kepada proses kelulusan,” katanya.
Shadan berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi tiga buah kediaman terpilih bagi Program Bandaraya Penyayang MBMB sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, di Kampung Bertam Ulu, di sini, semalam.
Program turut disertai Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin dan Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff.
Menurut Shadan, Program Bandaraya Penyayang ini akan diteruskan MBMB di tiga lagi DUN pada penganjuran WRUR akan datang.
“Menerusi program WRUR ini di pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kami bukan sahaja dapat menyantuni rakyat malah menyelesaikan sebaik mungkin isu di kawasan mereka.
“Misalnya di DUN Sungai Udang ini, MBMB mengenal pasti beberapa perkara untuk kita selesai terutamanya isu berbangkit dengan masalah rakyat,” katanya.
Jelasnya, di bawah Program Bandaraya Penyayang ini sejumlah peruntukan disediakan bagi menjalankan kerja gotong-royong, baik pulih kediaman, pemberian barangan elektrik dan sumbangan wang tunai termasuk kit makanan.
“Selain Program Bandaraya Penyayang, sepanjang WRUR ini berlangsung MBMB juga akan melaksanakan empat siri gotong-royong sekitar DUN Sungai Udang.
“Malah turut akan diadakan juga adalah Pertandingan Nyanyian Dondang Sayang Peringkat Negeri Melaka pada Ahad ini di Melaka Tropical Fruit Farm, Sungai Udang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.