Sorting by

×

‘RUMAH KEK’ KAMPUNG LANJUT MANIS

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

PAYA RUMPUT 14 Mac – Bermula dengan percubaan kecil di dapur ketika masih menuntut pada usia 20 tahun, Ainin Tasnim Samad, 34, kini mengemudi ‘The Cake House’ jenama bakeri yang menjadi tumpuan pencinta kek.

Ibu kepada empat anak ini membuktikan bahawa keyakinan, minat dan usaha tanpa henti mampu menjadikan impian realiti, walaupun bermula dengan modal kurang daripada RM50 dan tiada pengalaman dalam bidang bakeri.

Ainin menceritakan bahawa minat dalam bakeri muncul secara spontan kerana bidang diceburi sewaktu menuntut di Seremban adalah perniagaan.

“Tapi saya cuba belajar buat kek secara dalam talian di YouTube sahaja, dari situlah saya memulakan perjalanan perniagaan, bermula dengan percubaan ‘Cheese Tart’ secara ‘try and error’.

“Produk pertama ini berjaya menjadi titik tolak bagi Ainin untuk mencuba kek butter, kek marble dan kek-kek mudah sebelum beralih kepada kek hari jadi.

“Modal permulaan saya sangat rendah, ‘cream cheese’ masa tu murah sahaja dan guna 500 gram sebab mahu cuba dulu. Lepas tu baru ambil tempahan sikit-sikit, lama-lama makin banyak,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di rumahnya di Kampung Lanjut Manis.

Menurut Ainin, cabaran sepanjang sepuluh tahun ini bukan sedikit kerana harga bahan mentah sentiasa naik, selain tempahan yang dibatalkan secara tiba-tiba juga menjadi ujian.

“Pernah satu tempahan kek ‘custom’ mencecah lebih RM600 tetapi pelanggan membatalkannya saat akhir.

“Tapi saya tetap bersemangat untuk teruskan perniagaan ini kerana sokongan keluarga. Suami dan ibu sentiasa membantu, termasuk menguruskan anak-anak,” katanya.

Salah satu pengalaman paling mencabar tetapi juga manis bagi Ainin ialah ketika dia perlu membuat 1,000 biji kek tapak kuda yang perlu disiapkan dalam satu hari pada 2023.

“Kami mula pukul 8 pagi hingga 11 malam, adik-beradik saya semua membantu dan ada yang mengambil cuti semata-mata mahu tolong saya.

“Itu pengalaman yang sangat berharga dan membakar semangat saya untuk terus kembangkan bisnes ini.

“Selain kek tapak kuda, tiga produk ‘signature’ yang paling diminati pelanggan ialah cheese tart, kek coklat moist, dan cheesecake leleh yang terkenal dengan tekstur lembut dan rasa cheese yang banyak,” katanya.

Whatsapp image 2026 02 16 at 21.33.16 (1)
TURUT menghasilkan pelbagai kuih raya. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Produk Ainin bukan sahaja dipasarkan di Melaka dan Kuala Lumpur, malah turut dihantar ke Pahang melalui rangkaian ejen.

Melangkah ke hadapan, Ainin bercita-cita membuka rumah kek sendiri di Kampung Lanjut Manis.

“Jika ada kedai sendiri, saya berhasrat mengadakan kelas bakeri untuk pelajar dan anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU), sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai untuk belajar dan berkarya.

“Bagi mereka yang muda dan ingin ceburi bidang perniagaan, jangan takut untuk mencuba. Dari situ kita akan tahu kemampuan sebenar kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

525
Kongsi :
Previous post KITARECYCLE MELAKA KUMPUL LEBIH 800 TAN SISA KITAR SEMULA
Next post LEBIH 1,400 PENDUDUK DUN AYER LIMAU TERIMA SUMBANGAN CAHAYA SYAWAL