Sorting by

×

RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MELAKA ACARA TRADISI, LAMBANG SAYANG RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KLEBANG 16 Mac – Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri pada 28 Mac ini merupakan acara tradisi yang diadakan saban tahun dan bukannya menjadi acara yang mengisi kalender setiap kali pilihan raya hampir tiba.

Perkara itu dijelaskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turut memaklumkan program tersebut telah dirancang awal lebih awal selepas peruntukannya diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Beliau bagaimanapun menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengamalkan langkah penjimatan bagi penganjuran rumah terbuka itu.

“Melaka akan meneruskan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 28 Mac ini seperti perancangan yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Kerajaan Negeri tidak menolak saranan Perdana Menteri bagi langkah berjimat cermat, namun keputusan ini dibuat dalam MMKN dan bajet juga telah disediakan lebih awal, jadi kita akan teruskan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Glam Bazar Aidilfitri Klebang 2026, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata penganjuran rumah terbuka itu merupakan komitmen Kerajaan Negeri dalam menzahirkan aspirasi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

“Rumah Terbuka ini akan memberi ruang kepada rakyat terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri selain mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

“Ia juga menzahirkan manifestasi Kerajaan Negeri sentiasa dekat di hati rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

357
Kongsi :
Previous post MELAKA SIASAT DAKWAAN CAJ PARKIR RM183 DI PASAR BORONG
Next post PENDUDUK AYER LIMAU PUJI GAGASAN MeSRa, HARGAI BANTUAN HARI RAYA