
RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MELAKA PADA 28 MAC DITERUSKAN
BANDARAYA MELAKA 14 Mac – Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka pada 28 Mac akan diteruskan seperti dirancang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Justeru, beliau menjemput rakyat Melaka untuk memeriahkan sambutan rumah terbuka itu yang telah menjadi tradisi setiap kali Aidilfitri.
“Negeri Melaka akan terus menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri ini pada tarikh yang telah kita tetapkan iaitu pada 28 Mac 2026, demi rakyat, untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Moreh Ketua Menteri Bersama Media Melaka di sebuah restoran, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Melaka Siti Nurbaini Khairi; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini Sdn Bhd Nasharuddin Muhammad; Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Melaka Mazli Hamdan; Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) Amir Mamat serta kenamaan lain.
Pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bulan Mac 2026, 9 Mac lalu, Ketua Menteri mengumumkan rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini bakal berkonsep ‘Melaka Sayang Rakyat’ dan kekal diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semua kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini, sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


