
RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MELAKA SAYANG RAKYAT PADA 28 MAC
AYER KEROH 9 Mac – Melaka bakal menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 pada 28 Mac 2026 (Sabtu).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, rumah terbuka pada tahun ini bakal berkonsep ‘Melaka Sayang Rakyat’ dan kekal diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
“Sehubungan itu, saya mahu semua penjawat awam memberi komitmen dan kerjasama bagi memastikan sambutan ini berjalan lancar untuk menyambut kehadiran rakyat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mac 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ketua Menteri turut menyeru rakyat Melaka sama-sama menadah tangan dan berdoa agar negara-negara yang sedang bergolak akibat ketegangan geopolitik global dikurniakan keamanan dan kesejahteraan.
“Mudah-mudahan segala konflik yang melanda dapat segera reda, agar dunia kembali aman dan stabil, sekali gus memastikan kesejahteraan serta kemakmuran ekonomi negara kita terus terpelihara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


