Sorting by

×

RUMAH TERBUKA TAHUN BAHARU CINA PERTEMBUNGAN ‘UNIK’ ERAT PERPADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KLEBANG 4 Mac – Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung malam tadi mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini apabila menghimpunkan masyarakat berbilang bangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, istimewanya, sambutan kali ini menyaksikan pertembungan sambutan Chap Goh Meh dan Ramadan yang dilihat menjadi simbol perpaduan rakyat Melaka.

“Walaupun berlainan budaya dan agama pertembungan ini mencerminkan nilai-nilai murni masyarakat majmuk di Melaka yang saling menghormati, bertoleransi serta mempunyai semangat kebersamaan yang tinggi.

“Ini apabila masyarakat berbilang kaum yang hadir ke Dataran Klebang bukan sahaja sama-sama mengopek limau mandarin tetapi berbuka puasa dan seterusnya moreh bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Negeri Melaka yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Klebang, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ban Hong, dengan semangat kebersamaan dan perpaduan yang tinggi ini Melaka bukan sahaja muncul sebagai pelancongan antarabangsa yang popular tetapi juga menjadi destinasi pelaburan terpilih di rantau ini.

“Syabas dan tahniah kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mengamalkan dasar keseimbangan dalam pentadbiran negeri.

“Disamping itu membangunkan ekonomi secara komprehensif beliau turut memberi penekanan kepada pembangunan sosial yang merangkumi aspek perpaduan, kepelbagaian dan keharmonian,” katanya.

Jelasnya lagi, sokongan padu daripada rakyat kepada Kerajaan Negeri akan memastikan lebih banyak inisiatif dapat dilaksanakan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

479
Kongsi :
Previous post BANJIR: MELAKA MOHON RTB AYER SALAK
Next post MELAKA KEKAL TEGUH HASIL PERPADUAN, TOLERANSI SEMUA KAUM