
RUU TRIBUNAL ANTIBULI FOKUS KEPADA USAHA PEMULIHAN
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) Datuk Zamri Misman berkata pendekatan pemulihan bukan sahaja melibatkan mangsa, malah pelaku sendiri.
“(Fokus RUU) bukan hukuman, tetapi lebih kepada pemulihan,” katanya kepada pemberita selepas sesi Dialog Awam Tribunal Antibuli Peringkat Negeri Kedah dan Perlis di Institut Aminuddin Baki di sini hari ini.
Beliau berkata sesi libat urus hari ini merupakan yang ke-12 dan yang terakhir diadakan sebelum semua intipati yang diperoleh dibawa kepada Kabinet untuk dipertimbangkan.
“Kita telah pergi (bertemu) lebih 3,000 orang dalam sesi dialog awam melibatkan RUU ini dan menerima sambutan yang bagus dan input yang diberikan juga kita amat alu-alukan,” katanya.
Zamri berkata RUU itu bukan sahaja terhad kepada kes buli dalam kawasan sekolah, malah turut melibatkan kejadian di luar premis berkenaan.
“Sekiranya buli berlaku di luar kawasan sekolah, misalnya di kawasan perumahan, mangsa boleh membuat aduan terus kepada Tribunal Antibuli yang akan diwujudkan melalui akta ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata di peringkat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Pesuruhjaya Kanak-Kanak akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk mewujudkan platform aduan kes buli mesra kanak-kanak bagi memudahkan aduan dilakukan golongan itu.
“Mengenai pejabat, setakat ini cadangan Tibunal Antibuli adalah di JPM tetapi ia masih belum dimuktamadkan,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


