
RXZ MEMBERS RIDE EDITION MELAKA 3.0 PASTI LEBIH MERIAH
KLEBANG 3 Disember – Penganjuran RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 2025 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh pada 12 dan 13 Disember ini dijangka lebih meriah dan menjadi tumpuan peminat sukan permotoran seluruh negara.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program anjuran Kerajaan Negeri menerusi Tourism Melaka dan Persatuan Sukan Bermotor Daerah Kuala Nerus itu disusun rapi agar menggamit lebih ramai pengunjung berbanding edisi sebelum ini.
“Edisi kali ini saya menyasarkan lebih ramai pengunjung akan bersama-sama memeriahkan perhimpunan RXZ di Melaka. Ini kerana susun atur telah dirancang lebih awal lagi membabitkan pelbagai kaedah bagi menarik kedatangan peminat sukan permotoran yang lebih ramai.
“Namun saya juga ingin ingatkan kepada yang datang, patuhi peraturan sedia ada dan jangan jadikan jalan raya tempat berlumba. Datang ke Melaka berkumpul untuk kita mengeratkan silaturahim dan berkenalan dengan rakan peminat RXZ seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Grand Prize RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 2025 yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di sebuah hotel, di Klebang, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan.
Menurut Ab Rauf, penganjuran RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 2025 merupakan antara program diadakan sempena Tahun Melawat Melaka sebelum berlangsungnya pelancaran Tahun Melawat Melaka 2.0.
“Ini adalah satu daripada kemuncak dalam siri kita hendak menggamit lebih ramai pelancong dalam pelbagai sudut termasuk pelancongan domestik. Untuk meraikan peminat motosikal yang datang ke Melaka, selain Proton S70 sebagai hadiah utama kita turut menyediakan pelbagai persembahan serta tawaran istimewa,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri menyerahkan tajaan kereta Proton S70 kepada wakil penganjur Mohd Lukhman Hassan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

