Sorting by

×

SABK PACU KECEMERLANGAN SM IMTIAZ ULUL ALBAB – MAIM

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

LENDU 30 Januari – Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Ulul Albab Melaka kini melangkah ke fasa baharu kecemerlangan selepas secara rasminya berstatus Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Status itu dimeterai selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di SM Imtiaz Ulul Albab pada 28 Januari lalu.

Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, menerusi MoU itu, operasi harian dan perbelanjaan sekolah akan diuruskan oleh KPM, sekali gus membantu lebih banyak program-program pendidikan arus perdana diperkenalkan.

“Alhamdulillah, walaupun aset sekolah masih kekal di bawah lembaga pengelolaan, MAIM bersama Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) tetap memberikan sokongan tambahan.

“Status SABK memberi peluang kepada sekolah menyertai pelbagai program pendidikan Islam serta program ‘mainstream’ di bawah KPM yang sebelum ini dijalankan secara berasingan.

“Kolaborasi ini membuka ruang kepada pelajar dan guru untuk lebih terlibat dalam pelbagai inisiatif pendidikan sekali gus memacu kecemerlangan sekolah ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Shaifulfazlee, SM Imtiaz Ulul Albab Melaka mula dibina pada 2012 pada awalnya diuruskan oleh pihak persendirian, sebelum diambil alih MAIM pada 2021.

“Sekolah ini kini menempatkan 273 pelajar daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima dengan kapasiti maksimum boleh mencecah 350 orang mengikut aliran keluar masuk pelajar ke sekolah berasrama penuh atau MRSM.

“Status SABK membolehkan sekolah memperkukuh kualiti pendidikan dan pengurusan akademik serta menyediakan lebih banyak peluang pembangunan diri kepada pelajar,” katanya.

Shaifulfazlee berkata, kerjasama itu juga menzahirkan sokongan berterusan kerajaan terhadap pendidikan Islam di Melaka, selain mengiktiraf pencapaian akademik dan sahsiah pelajar.

“Langkah penstrukturan semula melalui SABK bukan sahaja memperkukuh pencapaian akademik, malah meningkatkan daya saing pelajar dalam pelbagai bidang, seterusnya melahirkan generasi unggul seimbang dari segi ilmu dan akhlak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

295
Kongsi :
Previous post PUTRA 2 MELAKA DIPACU TEKNOLOGI PERUBATAN TERKINI
Next post MITC TERIMA PENGIKTIRAFAN ASEAN TOURISM AWARDS 2026-2028