
SAKAN PILIH BAJU ‘BARU’ DI FREE MARKET
ASAHAN 12 Jun – Penduduk dari Kampung Orang Asli Bukit Seraya dan Gapam, rambang mata memilih pelbagai jenis pakaian baharu yang ditawarkan kepada mereka pada Program Free Market dijayakan Badan Sukarelawan At- Taqwa (BSAT) Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Suraya Sree Mohan, 52, berasal dari Kampung Orang Asli Gapam berkata, meskipun dikelaskan sebagai ‘terpakai’ namun pakaian yang disediakan masih elok dan kelihatan seperti baru.
Menurutnya, pakaian terpakai yang ditawarkan secara percuma itu amat bermakna malah dapat membantu meringankan beban golongan memerlukan.
“Pakain yang dibawa untuk kami pilih masih baru dan rambang mata dibuatnya terasa seperti berada di kedai baju kerana banyak pilihan.
“Boleh katakan lebih 10 helai saya ambil termasuk untuk cucu dan cicit, ini bukan sahaja boleh dijadikan pakaian tambahan harian malah dapat bantu kami berjimat.
“Contoh, kalau di kedai untuk dua helai baju dewasa seperti saya sudah cecah RM50 atau RM60 tetapi di sini boleh dapatkan secara percuma sahaja,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Free Market bersempena Program Sinar Zulhijah Bersempena Ibadah Korban Aidiladha Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Melaka Tahun 2025M/1445H, di Kampung Orang Asli Bukit Seraya, di sini, pada Selasa.
Sementara itu, bagi seorang lagi wanita masyarakat Orang Asli, Maya Hadi, 27, berkata, pemberian pakaian terpakai amat bermakna buat dirinya dan keluarga.
“Bukan sahaja orang dewasa pakaian untuk kanak-kanak juga ada, jadi saya tidak lepaskan peluang untuk cari baju baharu bagi kegunaan anak.
“Walaupun baju terpakai tetapi masih elok dan selesa dipakai, pemberian yang dianggap rezeki ini sudah memadai untuk saya anak-beranak, dapat juga jimatkan perbelanjaan suami.
“Terima kasih untuk sukarelawan BSAT dan penderma kerana membantu dan berkongsi rezeki dengan kami,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.