Sorting by

×

SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU KAK PAH PEMBUKA SELERA BERBUKA PUASA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

DUYONG 23 Februari – Keaslian rasa resepi warisan tiga generasi menjadikan sambal tempoyak daun kayu hasil air tangan Mak Pah sebagai lauk pilihan untuk berbuka puasa.

Mak Pah atau pemilik nama sebenar Sharifah Othman berkata, sudah lebih sedekad dia menjual sambal tempoyak daun kayu di bazar Ramadan dan permintaan sentiasa ada kerana menu tradisi itu pasti memikat selera khususnya penggemar tempoyak.

Menurutnya, bagi menampung permintaan sepanjang bulan Ramadan dia menyediakan kira-kira 200 kilogram (kg) tempoyak selain sambal menggunakan resepi yang diwarisi daripada ibunya itu yang dimasak setiap hari.

“Sejak lebih 10 tahun lalu saya sudah menjual menu ini dan alhamdulillah dari tahun ke tahun permintaan meningkat kerana ramai penggemar selain tidak ramai yang menjual menu tradisi ini.

“Untuk itu sebelum tibanya Ramadan saya akan pastinya tempoyak sahaja akan ada bekalan sekitar 200 kg tidak termasuk bahan utama lain seperti petai, daun kayu dan ikan bilis.

“Oleh kerana sambal tempoyak ini saya masak setiap hari jadi pelanggan akan dapat stok baharu dan boleh katakan sehari anggaran 50 bekas dapat dijual,” katanya.

Sharifah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima lesen jualan bazar Ramadan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, di bazar Ramadan Semabok Perdana, semalam.

Menurutnya, keunikan sambal tempoyak daun kayu yang dihasilkan terletak pada kaedah penyediaan yang berbeza berbanding kebanyakan yang dijual peniaga lain.

“Setiap orang ada cara tersendiri seperti menggunakan santan atau tumis menggunakan minyak tetapi saya mengikut cara asal atau cara masakan orang Perak.

“Apabila sudah bertahan lama dan mempunyai pelanggan tetap jadi saya perlu mengekalkan bukan sahaja keaslian rasa tetapi kualiti sambal tempoyak daun kayu yang dihasilkan kerana kepuasan pelanggan keutamaan kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

416
Kongsi :
Previous post ATASI ISU KESESAKAN BAZAR RAMADAN DUN DUYONG
Next post PENDUDUK KAMPUNG TAMPOI BERSYUKUR SRA JAIM JADI REALITI