
SAMBUTAN HARI TVET NEGARA, PLATFORM CIPTA KERJAYA
Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat
LENDU 29 Mei – Pelajar, graduan dan belia khususnya anak jati Melaka dipelawa untuk hadir dan memanfaatkan pelbagai peluang membina kerjaya ditawarkan sepanjang Sambutan Hari TVET Negara 2025 dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh dari 11 hingga 13 Jun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sambutan itu perlu dilihat sebagai satu bentuk platform dalam membina rangkaian profesional dan mencipta peluang kerjaya lebih cerah dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Sambutan itu akan menghimpunkan lebih 100 pemain industri dan pihak berkepentingan yang merangkumi sembilan sektor utama. Antara pengisian utama sambutan ini termasuklah Karnival Kerjaya MyFutureJobs yang bakal menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dalam bidang TVET dan dijangka akan menarik lebih 100,000 penglibatan seluruh negara.
“Sehubungan itu saya berharap agensi, pemain industri dan semua yang terlibat agar terus komited dalam memperkukuh kerjasama, menyediakan peluang-peluang latihan yang akan memberi lonjakan paradigma kepada golongan belia Melaka agar mereka setanding dengan tenaga kerja di negara maju yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Zero To Hero Penempatan Pekerja Bidang Scaffolding – Oil & Gas di HRSB Holdings Sdn Bhd, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama Adun Lendu, merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem serta Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Presiden HRSB Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohd Faizal Mohd Hassim.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
710