Sorting by

×

SAMBUTAN JUBLI INTAN RGK KE-60, ERATKAN HUBUNGAN KOMANDO DAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KLEBANG 28 Disember – Selepas enam dekad diraikan secara tertutup, Jubli Intan Rejimen Gerak Khas (RGK) Ke-60 disambut bersama rakyat bagi memperkukuh hubungan antara tentera dan masyarakat.

Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK) Mejar Jeneral Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab berkata, Melaka dipilih menjadi lokasi pertama penganjuran luar kawasan kem seterusnya menjadikan sambutan itu lebih istimewa.

Katanya, inisiatif Kerajaan Negeri bukan sahaja membuka ruang penglibatan orang awam, malah membantu merapatkan hubungan antara RGK dengan masyarakat melalui pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang program tersebut.

“Pada kebiasaan sambutan ini hanya dilaksanakan di dalam kem Gerak Khas, sekali gus mengehadkan penglibatan penduduk setempat dan masyarakat umum.

“Bagi RGK, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka yang memberi peluang dan ruang untuk kami mengadakan sambutan Jubli Intan Ke-60 ini luar daripada kem.

“Penganjuran luar kem ini memberi kami peluang mendekati penduduk tempatan yang mana selari dengan aspirasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk sentiasa mendekatkan institusi ketenteraan dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Hari Keluarga Gabungan Sempena Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas Ke-60 Fasa 2 Tahun 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Encore Melaka di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan , Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin serta kenamaan lain.

Sambutan Jubli Intan RGK itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian termasuk aset ketenteraan, demonstrasi pasukan elit serta aktiviti interaktif yang memberi peluang kepada orang awam.

Penganjuran julung kali diadakan di luar kem itu turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong pasukan keselamatan negara selain memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

393
Kongsi :
Previous post SAMBUTAN JUBLI INTAN KE-60: GERAK KHAS ‘PULANG’ KE MELAKA – AB RAUF
Next post RAKYAT MELAKA DIMINTA BERHATI-HATI SUSULAN CUACA TIDAK MENENTU