Sorting by

×

SARINGAN KANSER PERCUMA HARGAI ANGGOTA SRS MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

REMBIA 9 Ogos – Semua anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Melaka bakal menerima saringan kanser percuma sebagai tanda penghargaan daripada Kerajaan Negeri.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan tahun hadapan sebagai pengiktirafan terhadap peranan SRS dalam membantu menjaga keselamatan komuniti.

“Kita mahu bagi semua anggota SRS satu saringan kanser percuma ini. Ia tanda penghargaan saya kepada SRS Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jalinan Mesra Perpaduan @KRT, Program Gerak Rahmah: Taklimat Pendidikan Keselamatan dan Jom Ronda Bersepadu sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rembia di Japerun Rembia, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka, Intan Suhana Yusuff.

Fairul Nizam yang juga Penyelaras DUN Rembia berkata, isu-isu keselamatan seperti jenayah, penyalahgunaan dadah dan konflik sosial merupakan cabaran utama di peringkat komuniti.

Justeru, beliau berharap penganjuran program seumpamanya dapat membentuk ekosistem masyarakat yang inklusif, sejahtera dan harmoni sejajar dengan konsep asas integrasi nasional iaitu ‘Faham, Hormat dan Terima’.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan semua pihak yang memainkan peranan dalam menjaga keharmonian dan keselamatan komuniti setempat, khususnya di DUN Rembia,” katanya.

Program tersebut melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Alor Gajah, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan SRS DUN Rembia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

392
Kongsi :
Previous post ‘ANUGERAH INI HADIAH ISTIMEWA UNTUK RAKYAT MELAKA’ – KM
Next post MASA UNTUK GILAP PEMIMPIN MUDA, WARISI MELAKA