
SARINGAN KESIHATAN KOMUNITI PERLU DIMANFAATKAN PENDUDUK SETEMPAT
AYER KEROH 13 April – Orang ramai disaran memanfaatkan peluang saringan kesihatan yang dianjurkan melalui pelbagai program komuniti di kejiranan masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee berkata, kesedaran awal mengenai penjagaan kesihatan amat penting dalam usaha mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat ketika ini.
Katanya, program seperti Jelajah MediPulih Melaka dan Community Care Day yang diadakan di Ayer Keroh baru-baru ini menjadi platform mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan secara berterusan.
“Program seumpama ini amat baik kerana ia bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, tetapi turut membantu meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga kesihatan secara berterusan.
“Saya berharap lebih ramai masyarakat mengambil peluang untuk membuat saringan kesihatan awal dan mengetahui tahap kesihatan masing-masing lebih awal dan jangan lepaskan peluang untuk menghadiri program-program kesihatan yang diadakan dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas merasmikan Program Community Care Day sempena Jelajah MediPulih Melaka di sini, pada Sabtu.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Pengarah Urusan MediPulih, Dr. Zool Raimy Abdul Ghaffar serta Ketua Strategi Korporat MediPulih, Abuzar Ghifari Abd Rahman.
Menurut Chee Yee, pendekatan program bergerak ke lokasi komuniti itu membolehkan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kemudahan di fasiliti utama.
“Semoga lebih banyak syarikat dan organisasi tampil melaksanakan inisiatif sebegini agar budaya memberi kembali kepada komuniti dapat terus dipupuk dan diperluaskan demi manfaat bersama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


