Sorting by

×

SASAR SEJUTA GRADUAN POLYCC MENJELANG 2027

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MERLIMAU 26 Januari – Keupayaan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan berkebolehpasaran diperkasakan lagi menerusi usaha melahirkan satu juta orang graduan menjelang 2027.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr. Shamsuri Abdullah berkata, setakat ini POLYCC telah melahirkan lebih 900,000 graduan menerusi 36 institusi politeknik dan 106 kolej komuniti.

“Menjelang tahun hadapan angka graduan dilahirkan POLYCC akan mencecah satu juta orang. Pada masa yang sama tidak dilupakan juga kepada 959,340 graduan POLYCC yang telah menyumbang bakti ke arah kemajuan negara.

“Semua ini membuktikan peranan POLYCC dalam melahirkan graduan-graduan berkualiti, berkemahiran tinggi dan mempunyai kebolehpasaran tinggi dalam pasaran tenaga kerja negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti Tahun 2026 yang berlangsung di Politeknik Merlimau, hari ini.

Menurut beliau, setakat 2025, POLYCC telah berjaya melonjak sebagai peneraju institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang unggul sejajar dengan visi dan misi dalam menyediakan akses kepada program TVET berkualiti serta diiktiraf.

“Peningkatan peratus kebolehpasaran graduan daripada 92.2 peratus pada 2020 kepada 98.8 peratus tahun lalu selari dengan kadar bekerja graduan yang turut mencecah 98.8 peratus.

“Ini mencerminkan kejayaan pendekatan ‘broad-based’ POLYCC dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja bekerja malah berupaya menyambung pengajian, menjadi usahawan termasuk meningkat kualiti hidup,” katanya.

Jelasnya, POLYCC menjadi penyumbang terbesar pasaran tenaga kerja negara dengan anggaran lebih 40 peratus disamping berperanan sebagai penyedia utama program pembelajaran sepanjang hayat.

“Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan POLYCC dalam memperkasakan TVET negara secara holistik, inklusif dan mampan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

193
Kongsi :
Previous post LIMA SEKOLAH DALAM KEM TERENDAK TERIMA SUMBANGAN KOMPUTER RIBA
Next post MAIM AJAK AGENSI KORPORAT, NGO SANTUNI ANAK YATIM SEPANJANG RAMADAN