
SASARAN 650,000 PENGUNJUNG ‘NAIK MENARA TAMING SARI’ SEPANJANG 2026
BANDA HILIR 5 Januari – Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) menyasarkan kehadiran seramai 650,000 pengunjung sepanjang tahun 2026 sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif MTSB Nur Azan Hassan berkata, sasaran baharu itu selari dengan usaha berterusan memperkukuh sektor pelancongan negeri serta penganjuran pelbagai program untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Menara Taming Sari.
Katanya, MTSB telah merangka pelbagai program termasuk peningkatan pocket event, aktiviti kebudayaan, kekeluargaan dan pelbagai lagi merangkumi cuti persekolahan, cuti umum dan cuti hujung minggu.
“Sepanjang tahun 2025, MTSB berjaya menarik lebih 500,000 pengunjung ke Menara Taming Sari.
“MTSB komited memperkukuh tarikan sedia ada dengan penambahbaikan perkhidmatan dan program sampingan secara berterusan bagi merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Nur Azan berkata MTSB meletakkan peningkatan pengunjung bagi tahun 2026 adalah sejajar dengan kehadiran pengunjung pada tahun lalu.
“Selain meningkatkan pelaksanaan program, MTSB juga akan meningkatkan aspek keselamatan, keselesaan pengunjung serta promosi bersepadu bersama agensi pelancongan negeri turut dilaksanakan bagi memastikan pengalaman pengunjung berada pada tahap terbaik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


