
‘SEGARKAN’ TAMAN REKREASI BUKIT BERINGIN
LENDU 21 Mei – Suasana Taman Rekreasi Bukit Beringin, Masjid Tanah yang suram akibat sudah berusia akan ‘disegarkan’ semula menerusi kerja naik taraf secara berfasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, proses rejuvenasi taman rekreasi berusia lebih 20 tahun dengan luas keseluruhan 5.1 hektar itu dilaksanakan menerusi dua fasa.
Katanya, pembangunan fasa pertama kawasan Taman rekreasi milik penuh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) itu yang ketika ini sedang giat dilaksanakan melibatkan kawasan seluas 0.7 hektar dengan nilai projek RM450,000.
“Sebelum ini tapak berkenaan adalah tasik buatan dibina menggunakan konkrit, namun kerap berlaku vandalisme selain kerap menjadi lokasi aktiviti tidak bermoral, jadi kita ambil keputusan untuk buat pembangunan baharu.
“Komponen fasa pertama ini melibatkan kemudahan taman permainan kanak-kanak, laluan joging dan dataran. Kita juga melaksanakan kerja-kerja landskap dengan menanam pokok yang kurang risiko akan merosakkan kemudahan baharu dibina dalam tempoh masa panjang,” katanya.

Sulaiman berkata demikian ketika menghadiri Lawatan Tapak Menaik Taraf Landskap Taman Rekreasi Bukit Beringin, disampaikan Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim di Taman Rekreasi Bukit Beringin, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin, Setiausaha MPAG Radzyma Mahat, Ketua Ahli Majlis MPAG, Ghafar Ngah, Ahli-Ahli Majlis dan ketua-ketua jabatan MPAG.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata fasa dua pula melibatkan pembangunan keseluruhan taman rekreasi berkenaan menggunakan peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Jelas beliau, KPKT mempunyai peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan atau rejuvenasi taman rekreasi sudah berusia di seluruh negara.
“Saya sudah bermesyuarat dengan KPKT dan insya-Allah apabila lulus kelak kita akan bina kemudahan baharu seperti gelanggang tenis, futsal dan kemudahan lain termasuk padang sedia ada,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.