Sorting by

×

SEKOLAH MENENGAH BAHARU DUN REMBIA DIANGKAT KE RMK13, ATASI ISU KEPADATAN PELAJAR

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 7 Ogos – Cadangan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) baharu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia telah diangkat permohonannya dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menangani isu kepadatan pelajar di kawasan terbabit.

Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, permohonan telah dibuat dan tapak tanah untuk membina sekolah tersebut juga telah tersedia sejak beberapa tahun lalu.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, pembinaan sekolah baharu itu dapat menampung kepadatan pelajar dari SMK Dato’ Dol Said dan SMK Datuk Haji Talib Karim.

“Isu kepadatan pelajar dan pihak sekolah sudah tidak mampu menampung pelajar yang ramai ini memberi kesan kepada masyarakat kerana ada pelajar dari Rembia ini terpaksa bersekolah jauh dari rumah.

“Saya dimaklumkan terdapat pelajar yang perlu bersekolah sejauh 15 kilometer (km) berulang alik setiap hari ekoran isu kepadatan pelajar ini.

“Bagi menyelesaikan isu ini, kita telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk dimasukkan dalam RMK13 bagi mengatasi masalah ini dalam DUN Rembia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ziarah Kasih bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rembia di Taman Permai, di sini, semalam.

Turut bersama pada sesi ziarah itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, pihaknya sedang menunggu kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan bagi memulakan pembinaan dan berharap ia dapat diumumkan dalam masa terdekat.

Jelasnya, setiap kali musim kemasukan pelajar ke sekolah menengah, pihaknya menerima rungutan daripada ibu bapa kerana terpaksa menghantar anak-anak mereka bersekolah jauh dari kediaman.

“Mujurlah Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah sentiasa memberi kerjasama yang baik setiap kali isu ini timbul, namun masalah kepadatan ini perlu diselesaikan segera.

“Sekiranya sekolah baharu di DUN Rembia ini dibina, ia dijangka dapat mengurangkan beban kepadatan pelajar dalam kawasan DUN Rembia, DUN Paya Rumput dan sekitarnya,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

612
Kongsi :
Previous post LIGA SUPER: MELAKA FC TIDAK MEWAH BERBELANJA
Next post JALAN SEHALA ALTERNATIF SELESAI RUNGUTAN PENDUDUK