Sorting by

×

‘SEKOLAH PONDOK’ MODEN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

PAYA RUMPUT 26 Januari – Pondok Darul Muttaqin yang terletak di tepi Lebuh SPA, Paya Rumput menjadi antara ‘sekolah pondok’ moden yang memperkenalkan konsep ‘hibrid’.

Ia memandangkan institusi berkenaan bukan hanya menjadi tempat untuk anak-anak muda mendalami bidang tahfiz al-Quran, bahkan pada masa sama ia juga turut menjadi sebuah pusat pengajian Islam untuk warga emas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, sehingga kini, institusi berkenaan telah menempatkan seramai 25 warga emas untuk menuntut ilmu agama.

Jelas beliau, ia selari dengan gagasan yang dibawa Kerajaan Negeri untuk menyediakan pelbagai platform dan kemudahan untuk rakyat daripada lahir hingga ke liang lahad.

“Pondok Darul Muttaqin ini menjadi antara sekolah pondok moden yang menyediakan kemudahan untuk warga emas menuntut ilmu walaupun sudah berada di penghujung usia.

“Dimaklumkan, ada yang sudah melebihi usia 70 tahun turut menimba ilmu di sini kerana ia bukan sahaja menyediakan ilmu agama, bahkan kemudahan lengkap lain turut disediakan.

“Saya difahamkan hanya ada dua sekolah pondok moden yang masyhur di Melaka setakat ini dan satu daripadanya berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada lawatan kerja pertama ke Negeri Melaka di Pondok Darul Muttaqin, di sini, pada Sabtu.

Turut bersama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta lain-lain kenamaan.

Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, kunjungan Timbalan Perdana Menteri ke sekolah pondok itu sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap institusi pendidikan agama.

Malah, ujar beliau, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut cakna terhadap keperluan institusi agama menerusi pelbagai bentuk bantuan dan sokongan yang diberikan.

“Saya percaya keprihatinan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ini akan membantu dalam memperkasa lagi institusi pendidikan agama di negeri ini dan seterusnya membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada pelajar tahfiz,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

645
Kongsi :
Previous post AL-QURAN JADI SEBAHAGIAN HIDUP MOHAMMAD NAFI’
Next post WCARE TINGKAT KESEDARAN KANSER SERVIKS, PAYUDARA