
SEKTOR PERTANIAN PENYUMBANG KETIGA TERBESAR KDNK MELAKA
AYER KEROH 29 Jun – Sektor pertanian menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Melaka dengan nilai mencecah RM4.8 bilion, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, nilai itu merupakan pertumbuhan tertinggi iaitu sebanyak 6.5 peratus, sekali gus mengatasi sektor-sektor lain.
Melangkah ke hadapan, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh agenda agenda keterjaminan makanan melalui pelbagai inisiatif, termasuk memperluas pengoperasian Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).
“Melihat kepada potensi Melaka, mewakili Kerajaan Negeri, saya amat bersyukur kerana pada tahun ini, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM10.2 juta ringgit bagi projek-projek pertanian berimpak tinggi, merangkumi agropelancongan, subsektor tanaman serta pembangunan sawah padi.
“Suka saya kongsikan, Melaka juga merupakan negeri pertama di Malaysia yang berjaya menghasilkan benih padi sah sendiri, di mana tuaian pertama mencecah 149.55 tan metrik, dengan lebih 45 peratus diiktiraf sebagai benih sah sekali gus menyokong lebih 600 hektar sawah padi di Melaka.
“Alhamdulillah, impaknya, sebanyak 4,000 kampit Beras Melaka dan 56 metrik tan benih padi sah MR297 telah berjaya dipasarkan. Jadi selepas ini, para
pesawah di Melaka tidak perlu bergantung kepada benih dari luar, sekali gus mengurangkan kos pengeluaran padi yang ditanggung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Melaka Agrofest bagi Tahun 2025 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, sektor pertanian di negeri ini dijangka terus berkembang pesat apabila lebih ramai petani dan pengusaha tanaman kini memanfaatkan perkembangan teknologi masa kini untuk meningkatkan hasil.
Kata beliau, pada tahun lalu, seramai enam pengusaha telah menerima manfaat daripada pelaksanaan sistem automasi pintar berasaskan Internet Kebendaan (IoT), melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM89,000.
Pada masa yang sama, beliau berkata, penggunaan teknologi dron dalam kalangan pesawah di Melaka juga semakin meluas dengan penjimatan kos buruh kepada RM50 secara purata bagi sepetak sawah, berbanding kadar konvensional yang jauh lebih tinggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.