Sorting by

×

SEL BAHARU BERI ‘NYAWA’ UNTUK TAPAK PELUPUSAN SUNGAI UDANG

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 8 November – Masalah kapasiti sampah di Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang bakal diatasi dengan pembinaan sel baharu bagi menampung sisa pepejal yang dijangka hanya mampu bertahan selama setahun lagi.

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Malaysia, Hee Loy Sian berkata, pembinaan sel baharu itu merupakan langkah alternatif sementara menunggu Loji Sisa Pepejal Kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE) siap sepenuhnya.

“Tapak pelupusan yang sedia ada kini tidak mampu lagi untuk menampung sampah semasa. Projek WTE dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk siap.

“Jadi, sementara menunggu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) sedang dalam proses tender bagi menambah lagi sel baharu.

“Pembinaan sel baharu ini akan dibina berhampiran dengan tapak sedia ada dan perlu disegerakan. Kita berharap ia boleh mula beroperasi pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Kempen ‘Jangan Gunalah: Free Plastic, Bermula Dari Saya’ di Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Ahli Lembaga Amanah Tekun Nasional, Datuk Halim Bachik; Pengarah SWCorp Negeri Melaka, Nor Zaki Md Nor; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, loji WTE akan menjadi penyelesaian jangka panjang, namun tidak semua sisa boleh dibakar, menyebabkan tapak pelupusan tetap diperlukan.

“Walaupun loji WTE mampu menangani sebahagian besar sisa pepejal, masih terdapat tiga hingga lima peratus sampah yang tidak boleh dibakar.

“Namun begitu, dengan pelaksanaan WTE, kebergantungan terhadap tapak pelupusan dapat dikurangkan dengan sehingga 95 peratus,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, KPKT merancang untuk membangunkan sebanyak 18 loji WTE di seluruh negara menjelang tahun 2050.

Sungai Udang, Melaka, dipilih sebagai lokasi kedua WTE di negara ini selepas Cyberpark di Negeri Sembilan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

720
Kongsi :
Previous post SATU ABAD PANDU PUTERI MELAKA BUKTI KEUTUHAN LEGASI WANITA