
SELAT MELAKA JADI SAKSI PELANCARAN GILANG-GEMILANG VM 2026
BANDA HILIR 22 September – Melaka menjanjikan pengisian acara dan persembahan penuh gilang-gemilang bakal mewarnai pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) yang diadakan di Encore Melaka pada 27 September ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, istimewanya pelancaran tersebut bakal diadakan di hadapan menteri pelancongan dan delegasi dari 159 buah negara, sekali gus melakarkan satu lagi detik bersejarah buat negara.
Selain itu, katanya, Selat Melaka bakal menjadi saksi pelancaran VM 2026, di mana pentasnya dibina di atas laut dan ia juga akan diwarnai dengan pelbagai persembahan menarik kepada semua yang hadir.
“Pelancaran VM 2026 itu nanti akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama tetamu dari seluruh dunia yang turut bersama sempena WTD 2025.
“Dengan keunikan pentas dibina berlatarbelakangkan Selat Melaka, kita mahu menonjolkan nilai-nilai sejarah negeri ini yang pernah menjadi sebuah kota perdagangan terunggul suatu ketika dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Road To World Tourism Day (WTD) 2025 dan Majlis Pelancaran Kolaborasi Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Bersama Zuss Coffee @ Sungai Melaka di Hard Rock Cafe, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut mempelawa semua rakyat Melaka dan negeri sekitar untuk bersama-sama memeriahkan malam pelancaran itu, selain Karnival WTD 2025 yang diadakan bermula 26 hingga 29 September.
Menurut beliau, pelbagai pengisian menarik disediakan khas untuk pengunjung seperti pameran sejarah, pesta konda kondi, pesta layang-layang dan macam-macam lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.