
SELAWAT JIBRIL, BACA AL-QURAN JADI AMALAN PELAJAR MELAKA CEMERLANG STAM 2024
AYER KEROH 22 Mei – Mengamalkan selawat Jibril, solat tahajud, baca al-Quran setiap hari, selain sentiasa mendahulukan ibu bapa dalam kehidupan antara rahsia kecemerlangan yang dikongsi pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 Negeri Melaka.
Berkongsi cerita, Qurratul Aini Rosli, 19, yang meraih 10 Mumtaz (Sufi) dalam STAM 2024 memaklumkan dia hampir putus asa dan tidak mahu meneruskan pembelajaran di peringkat STAM pada awalnya.
Namun, anak kedua daripada enam beradik yang mesra disapa Aini itu meneruskan pembelajaran selepas meminta pandangan dan kata-kata semangat daripada ibu, Suraini Abdul Latif, 42 dan bapa, Rosli Ibrahim, 55 selain meminta doa orang tuanya.
“Saya selalu amalkan baca selawat Jibril setiap hari dan membaca al-Quran sebagai terapi terutamanya setiap kali berdepan kesukaran dalam pelajaran.
“Alhamdulillah, memang tidak sangka memperoleh kecemerlangan dalam semua subjek iaitu Mumtaz Sufi (cemerlang tinggi) namun saya percaya usaha tidak mengkhianati hasil,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Seorang lagi pelajar cemerlang STAM 2024, Nadiatul Najwa Mohd Kuari,19, berkata kejayaan diperolehnya adalah berkat sokongan daripada ibu bapa, guru dan rakan seperjuangan, selain keazaman yang tinggi sepanjang peperiksaan.
Anak kedua dari tiga beradik yang berhasrat untuk menjadi guru itu menyifatkan kejayaan diraihnya itu adalah hadiah buat ibu, Roslindah Ismail, 48 dan bapa Mohd Kuari Osman, 48.
“Kunci kejayaan saya adalah belajar setiap hari dan fokus kepada pelajaran dalam kelas. Pada masa sama, saya juga patuh dengan nasihat serta pesanan ibu untuk mengutamakan solat, membaca al-Quran.
Pada tahun ini, seramai tiga calon STAM 2024 peroleh gred Mumtaz dan dua daripadanya merupakan pelajar Sekolah Menengah Arab (SMA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Asyraf dan seorang lagi pelajar SMA JAIM Al-Ahmadi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.