Sorting by

×

SEMANGAT LUAR BIASA RUBAN DIDIK ANAK-ANAK JIRAN CELIK ILMU

Masa Membaca:2 Minit, 43 Saat

ASAHAN 22 November – Di sebalik kekurangan fizikal akibat penyakit Duchenne Muscular Dystrophy, semangat juang seorang pemuda, M. Ruban, 30, terus menyala untuk memastikan anak-anak jiran di taman perumahannya tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Anak bongsu daripada dua beradik itu disahkan menghidap penyakit otot sejak usia enam tahun dan kehilangan keupayaan berjalan sepenuhnya ketika berumur 17 tahun.

Namun di sebalik dugaan besar itu, Ruban tidak pernah menjadikan keadaan dirinya sebagai alasan untuk menyumbang kepada masyarakat dengan mengadakan tuisyen untuk membantu anak-anak jirannya.

“Pada awalnya saya hanya mendengar luahan daripada kejiranan yang mengadu kepada ibu saya mengenai masalah anak-anak mereka yang keciciran dalam pelajaran.

“Dari situ, saya terdetik untuk membantu kerana kebanyakan ibu bapa di Taman Seri Batang Melaka ini bekerja.

“Jadi, saya mula memastikan mereka anak-anak jiran datang ke rumah dan saya bantu mengajar untuk mereka siapkan kerja rumah, lebih kepada tuisyen sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Batang Melaka.

Menurut Ruban, bermula dengan dua murid yang datang untuk mendapatkan tunjuk ajar sehinggalah kini dia mempunyai lebih 12 murid yang terdiri daripada murid darjah 1 hingga darjah 6.

Bapa kepada seorang anak itu memaklumkan, dia kini memperuntukkan tiga hari setiap minggu untuk mengajar anak-anak di kejiranannya iaitu pada setiap Isnin, Selasa dan Rabu.

Jelasnya, pada tempoh itu, rumah kecilnya bertukar menjadi ruang ilmu, di mana anak-anak jiran berkumpul bagi mempelajari empat mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

“Saya tidak mahu lihat anak-anak jiran saya leka atau tercicir. Saya mahu mereka celik ilmu dan ada masa depan yang lebih baik. Saya mungkin tak mampu bergerak seperti orang lain, tapi saya masih boleh mendidik,” katanya.

Tambah Ruban, dia mengenakan bayaran RM35 seorang, bukan sebagai sumber utama pendapatan, tetapi lebih kepada tanda komitmen dan tanggungjawab kepada ibu bapa anak didiknya.

Katanya, tujuan utama dia mengadakan kelas tuisyen itu ialah untuk membantu anak-anak sekitar memahami pelajaran dengan lebih baik, terutama mereka yang lemah dalam asas pembelajaran.

“Saya percaya setiap anak ada potensi masing-masing. Kadang-kadang mereka hanya perlukan perhatian dan bimbingan yang lebih perlahan serta sabar. Bila mereka mula faham, wajah mereka yang gembira itu dah cukup buat saya rasa puas,” ujarnya.

Walaupun berkerusi roda dan perlu dibantu dalam urusan harian tertentu, Ruban tetap menyiapkan nota, latihan dan bahan pengajarannya sendiri.

Menurutnya, sokongan ibu bapa dan jiran sekeliling banyak memberi kekuatan untuk meneruskan usaha itu.

Malah, ujarnya, ada pelajar yang kini menunjukkan peningkatan mendadak dalam peperiksaan selepas mengikuti kelas tuisyen kendaliannya.

“Saya tidak mahu simpati orang. Saya hanya mahu dihargai atas usaha saya untuk mendidik. Bila anak didik saya berjaya, saya rasa bangga seolah-olah saya pun berjaya bersama mereka,” katanya.

Bagi Ruban, pendidikan bukan sekadar platform untuk mendapat pekerjaan, tetapi ia juga kunci membina jati diri dan masa depan yang lebih baik.

“Ilmu adalah pelita hidup. Meskipun saya belajar setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun itu tidak menghalang untuk saya berkongsi ilmu.

“Kalau saya tak boleh bergerak ke mana-mana, biarlah ilmu yang saya kongsi ini bergerak dan memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Di sebalik fizikal yang terbatas, jiwa Ruban membuktikan bahawa kekuatan sebenar manusia bukan terletak pada tubuh, tetapi pada semangat dan tekad untuk memberi ilmu berharga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

180
Kongsi :
Previous post BAJET NEGERI MELAKA 2026: PERKASA, TAMBAH BAIK PENDIDIKAN TVET, LAHIR GRADUAN TERBAIK