
SEMANGAT PATRIOTIK WARGA MCORP
AYER KEROH 9 Ogos – Perbadanan Melaka (MCORP) komited menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2025 dengan penganjuran pelbagai program berunsurkan patriotik kepada kakitangannya.
Ketua Pegawai Eksekutif MCORP Datuk Mohd Yusof Abu Bakar berkata, sebanyak tujuh program peringkat dalaman dianjurkan bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan pada tahun ini.
Jelas beliau, antara program tersebut adalah Kempen Kibar Jalur Gemilang; Pertandingan Video Pendek Patriotik; Pertandingan Menghias Pejabat Mengikut Aras Bertemakan Jalur Gemilang; Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak Tadika Pintar; Fun Walk Merdeka 2K; Bacaan Yasin dan Ceramah Patriotik serta Khemah Jualan Makanan Tradisional Pelbagai Kaum dan Kempen Derma Darah sempena kemerdekaan.
Selain itu, beliau memaklumkan, MCORP juga akan turut serta dalam acara perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 31 Ogos 2025.
“Sehubungan itu, penyertaan dalam perbarisan ini adalah diwajibkan kepada semua entiti di bawah Kumpulan Syarikat MCORP. Kita ingin memastikan kehadiran yang menyeluruh dan bersepadu sebagai tanda sokongan serta semangat patriotik yang tinggi terhadap sambutan kemerdekaan negara.
“Saya menyeru agar semua Kumpulan Syarikat dapat memberikan komitmen sepenuhnya dan mengambil bahagian secara aktif. Inilah masanya untuk kita tampil bersama sebagai satu keluarga besar MCORP, bersatu hati dalam membawa nama baik organisasi dan negeri Melaka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan MCORP Bagi Bulan Ogos 2025 dan Sambutan Bulan Kemerdekaan Yang Ke-68, 6 Ogos lalu.
Dalam ucapannya, Mohd Yusof turut meminta warga MCORP menghayati tema sambutan kemerdekaan tahun ini iaitu ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, Negara Dihormati’ yang memberi penekanan kepada peranan kerajaan dan seluruh warga negara dalam menyantuni rakyat dengan adil, beretika dan berperikemanusiaan, seterusnya mewujudkan negara yang disegani dan dihormati di peringkat global.
“Sebagai warga MCORP, kita juga memikul amanah yang sama, menyantuni rakyat melalui perkhidmatan, pelaburan dan pembangunan yang lestari. Segala projek, aktiviti dan keputusan kita sama ada besar atau kecil akan memberi kesan kepada masyarakat dan imej negeri Melaka.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga MCORP atas dedikasi dan usaha berterusan dalam memacu pertumbuhan strategik negeri ini. Teruskan memberi yang terbaik, bukan sekadar kepada organisasi, tetapi kepada rakyat yang kita wakili,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.