Sorting by

×

SEMBILAN MASJID DUN AYER LIMAU SEMARAK RAMADAN, SASAR 700 PESERTA TADARUS

Masa Membaca:54 Saat

AYER LIMAU 19 Februari – Sebanyak sembilan masjid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau akan menganjurkan pelbagai program kerohanian bagi mengimarahkan bulan Ramadan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, antara program yang dirancang termasuk majlis tadarus dan khatam al-Quran yang dijangka melibatkan sehingga 700 peserta di sekitar DUN tersebut.

Katanya, program tersebut akan berlangsung serentak di sembilan masjid sepanjang Ramadan dengan penglibatan komuniti setempat.

“Program seumpama ini bertujuan untuk meningkatkan amal ibadah selain menjadikan bulan penuh keberkatan ini sebagai wadah untuk mengeratkan silaturahim,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, penganjuran program berterusan itu diharap dapat menarik lebih ramai umat Islam terutama golongan muda untuk mendekati masjid.

Tambahnya, selain program tadarus dan khatam al-Quran itu, pihaknya juga akan memeriahkan Ramadan dengan beberapa program khas lain.

“Pada minggu ketiga Ramadan DUN Ayer Limau akan diisi dengan program khas termasuk sambutan malam tujuh likur bagi memeriahkan suasana menjelang Aidilfitri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

415
Kongsi :
Previous post RAJA MUDA SELANGOR BERKENAN SANTUNI 38 ANAK YATIM RAYSAS