
SEMBILAN VESEL DIKESAN LANGGAR UNDANG-UNDANG PERIKANAN DI MELAKA
SERKAM 22 April – Jabatan Perikanan Negeri Melaka merekodkan sembilan tangkapan vesel melibatkan 36 individu atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 (Akta 317) menerusi operasi penguatkuasaan dilaksanakan sepanjang tempoh 11 November 2024 hingga 21 Mac 2025 yang lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Melaka Saufi Affandi Talib berkata, ada antara kesalahan atau pelanggaran undang-undang dikesan berlaku sekitar perairan Taman Laut Melaka dan Pulau Besar.
Katanya, antara kesalahan direkodkan adalah mengikut Seksyen 8 (a) iaitu menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen yang sah, Seksyen 11(3)(b) memiliki peralatan menangkap ikan tanpa lesen, Seksyen 43(1)(a) menangkap atau mencuba menangkap ikan tanpa kebenaran dan Seksyen 8(b) melanggar syarat lesen.
“Tindakan penguatkuasaan adalah selari dengan usaha kami untuk memastikan tiada kompromi terhadap pelanggaran peraturan, terutamanya di kawasan larangan seperti Taman Laut Melaka dan Pulau Besar.
“Kesemua individu ditahan terdiri daripada tekong dan awak-awak vesel tempatan, operasi penguatkuasaan berterusan ini dilaksanakan bagi memastikan undang-undang perikanan dipatuhi selain memastikan sumber marin kekal terpelihara,” katanya selepas Sesi Libat Urus Bersama Nelayan Berdaftar Negeri Melaka di Dewan Kompleks Japerun Serkam, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan.
Mengulas lanjut Saufi Affandi berkata semua kes telah dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-undang (PUU) untuk tindakan lanjut, termasuk kompaun atau pendakwaan di mahkamah.
“Dua kes dikesan pada 11 November 2024 kini sedang menunggu keputusan akhir daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk prosiding pendakwaan.
“Kami tidak akan berkompromi dalam isu pencerobohan dan aktiviti perikanan haram. Ini adalah langkah tegas untuk melindungi sumber marin negara, khususnya perairan Melaka yang menjadi habitat penting pelbagai spesies ikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.