
SENI BATIK IMEJ KORPORAT BAHARU PPSPM
AYER KEROH 27 Mei – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) mengangkat batik menggunakan corak berindentitikan seni dan budaya tempatan sebagai pakaian korporat baharu agensi itu.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris, berkata pemilihan batik juga adalah sebagai tanda menghargai dan menghormati seni warisan serta kepelbagaian budaya dimiliki Negeri Melaka.
“Baju korporat baharu kami bukan sahaja mencerminkan identiti tempatan, malah menonjolkan keunikan dan keindahan seni batik Malaysia dalam perkhidmatan PPSPM.
“Kami mahu setiap kakitangan memakai baju ini berasa bangga dengan kepelbagaian budaya Melaka, pemilihan batik amat tepat kerana PPSPM adalah antara barisan hadapan yang kerap berinteraksi dengan pelancong, tidak kira domestik atau antarbangsa,” katanya.
Shaharul Azuar berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mei 2025 anjuran PPSPM yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta lain-lain kenamaan.
Menurutnya, penggunaan batik sebagai pakaian korporat bukan sahaja cerminan kepada profesionalisme kakitangan PPSPM sebaliknya ia adalah manifestasi bahawa pelancongan dan warisan boleh bergerak seiring.
“Marilah kita bekerjasama dalam memartabatkan Melaka sebagai destinasi pelancongan unggul yang kaya dengan sejarah dan budaya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.