Sorting by

×

SENI ‘LUKISAN BERLIAN’ SUMBER REZEKI OKU

Masa Membaca:3 Minit, 12 Saat

ASAHAN 19 November – Minat mendalam terhadap seni kreatif mendorong seorang gadis orang kurang upaya (OKU), P Villashini, 30, menjadikan aktiviti ‘diamond painting’ dan kraf tangan sebagai sumber rezeki tetap sejak dua tahun lalu.

Villashini yang mesra disapa Villa berkata, minatnya bermula sekadar hobi untuk mengisi masa lapang di rumah sebelum menerima permintaan daripada rakan-rakan yang tertarik dengan hasil seninya.

“Mula-mula saya buat seni kraf ini sebagai hobi sahaja, nak gantung di rumah. Tapi bila kawan-kawan datang tengok hasil saya, mereka minta saya buatkan juga dan sanggup bayar.

“Dari situlah saya mula mengambil tempahan, pada awalnya memang tiada keberanian namun atas dorongan ahli keluarga baharulah saya mula ambil tempahan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di kediaman keluarganya di Taman Seri Batang Melaka.

Menurut Villa, berkata sehingga kini dia telah menghasilkan lebih 30 karya diamond painting yang kebanyakan permintaan daripada pelanggannya mahukan lukisan bertemakan flora dan fauna.

SENI KREATIF PERLU SABAR, TELITI

Kongsi Villa, setiap lukisan yang diminta oleh pelanggannya harus disunting terlebih dahulu sebelum dihantar ke kedai untuk menyiapkan berlian yang akan digunakan.

“Kebanyakan pelanggan saya suka lukisan bertemakan haiwan, bunga dan pemandangan yang indah yang memerlukan pelbagai warna diperlukan. Jadi lukisan itu akan memerlukan ribuan batu manik atau berlian kecil yang disusun halus mengikut kod warna tertentu.

“Proses menyiapkan satu lukisan ini memerlukan tumpuan penuh dan tahap kesabaran tinggi kerana membabitkan kerja tangan yang rumit dan setiap lukisan memberikan cabaran yang pelbagai.

“Jika saiz kecil 20 x 20 saya boleh siapkan dalam tiga hari, tapi kalau yang besar sampai 80 x 100 sentimeter (cm) dan keatas ia akan mengambil masa lebih sebulan,” jelasnya.

Tambah Vilashini, dia hanya menerima tempahan melalui aplikasi WhatsApp dan menjual hasilnya pada harga antara RM60 hingga RM700 bergantung kepada saiz dan tahap kesukaran.

TANGAN SENI LUAR BIASA

Selain ‘diamond painting’, anak sulung daripada tiga beradik itu turut menghasilkan pelbagai seni kraf lain seperti bunga hiasan buatan tangan, jambangan bunga serta aksesori wanita seperti anting-anting dan hiasan tradisi India.

“Saya belajar semua sendiri melalui internet. Tengok video, saya cuba buat sendiri. Kalau tengok sekali pun saya dah boleh ikut,” ujarnya.

Villa memaklumkan antara hasil kreatifnya termasuk bunga daripada reben, hiasan majlis perkahwinan dan ‘bouquet’ coklat yang mendapat sambutan pelanggan sekitar Kawasan itu.

Whatsapp image 2025 11 13 at 16.03.13
VILLASHINI ketika menyiapkan tempahan lukisan bersaiz besar yang diterimanya pada bulan lalu.

SOKONGAN KELUARGA KEKUATAN DIRI

Vilashini yang kini bekerja sepenuh masa dari rumah mendapat sokongan penuh daripada kedua ibu bapanya yang sentiasa memberi galakan untuk meneruskan minat seni.

Jelasnya, dia meminati seni sejak dari zaman sekolah dan berazam mahu menjadikan hobi sebagai pendapatan membantu diri dan keluarga.

“Memandangkan saya merupakan OKU, untuk mencari pekerjaan hakiki itu agak payah kerana saya tidak mampu untuk berdiri lama dan mempunyai penyakit asma kronik.

“Namun sokongan keluarga dan kata-kata semangat merekalah yang menjadikan saya kuat untuk terus memberikan bakti.

“Ayah dan mak saya banyak bagi semangat. Mereka selalu cakap, kalau kita minat dan usaha, mesti boleh berjaya,” katanya,” katanya.

Tambah Villa, dia bercadang untuk memperluaskan pasaran perniagaan seni kreatifnya itu ke pasaran dalam talian di pelbagai platform seperti Facebook dan TikTok.

KEKURANGAN BUKAN PENGHALANG UNTUK BERJAYA

Villashini membuktikan meskipun tidak seperti insan normal lain, namun dia tidak menjadikan kekurangan sebagai halangan untuk berjaya.

“Pada saya meskipun ada kekurangan diri, kita kena tahu di mana kelebihan yang ada, setiap yang kurang pasti akan ada lebih di tempat lain.

“Saya juga mahu membuktikan bahawa seni kreatif ini bukan sekadar hobi, tetapi mampu menjana pendapatan,” tambahnya.

Dengan sokongan keluarga serta usaha gigihnya, hasil tangan Vilashini bukan sahaja mencerminkan nilai keindahan, tetapi juga semangat dan ketabahan dalam mengangkat nilai seni sebagai sumber kehidupan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat ‘diamond painting’ dan jambangan bunga hiasan serta pelbagai hasil seni tangan lain boleh hubungi Villashini di talian 017-3200405.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post DUN TANJUNG BIDARA TERUS NYALAKAN OBOR PENDIDIKAN
Next post PSH MELAKA GIAT ANJUR KEMPEN KESEDARAN KESIHATAN