
SENTUHAN KASIH MBMB UNTUK PENDUDUK DUYONG
DUYONG 15 Julai – Dua penduduk di Kampung Semabok dan Bukit Duyong tidak menyangka kepayahan hidup yang dialami mendapat perhatian Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang telah menzahirkan keprihatinan menerusi Program Bandaraya Penyayang.
Bandaraya Penyayang MBMB merupakan sebahagian program yang disusun bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang berlangsung selama dua minggu, di mana ia membantu golongan memerlukan dalam aspek baik pulih rumah, sumbangan perkakasan rumah serta sokongan moral kepada penerima.
Antara yang menerima bantuan menerusi program itu adalah Norashikin Alias, 52, yang mengalami masalah kesihatan dan tidak mampu berjalan dengan baik sejak awal tahun akibat terjatuh dan terpaksa dijaga oleh anak-anak secara bergilir.
Menurut anak sulung Norashikin, Izzat Fahmi Abu Salmah, 26, bantuan yang diterima itu membawa makna cukup besar kepada ibu dan keluarganya.
“Sebagai anak pertama, tanggungjawab menguruskan keluarga dalam keadaan serba kekurangan amat mencabar. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak terlibat MBMB, Japerun Duyong dan semua yang terlibat atas bantuan dan keprihatinan yang diberikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Turut menerima bantuan sama adalah seorang warga emas di Batu 2 1/2 Semabok, Mariam Ahmad, 81, yang merupakan pesakit strok yang kini tinggal bersendirian.
Menurut adik kepada Mariam, Samad Ahmad, 70, walaupun kakaknya masih boleh melakukan kerja-kerja ringan, namun jauh di sudut hatinya tetap bimbang dan sentiasa memantau kesihatan kakaknya.
Dia bagaimanapun berterima kasih kepada pemimpin negeri dan MBMB yang telah menghulurkan sumbangan yang bukan sahaja meringankan beban, malah memberikan kegembiraan dan sokongan emosi kepada kakaknya.
“Kami sekeluarga sangat gembira dan bersyukur atas keprihatinan semua pihak yang sudi membantu. Bantuan ini amat bermakna dan memberi semangat kepada kakak saya untuk terus menjalani kehidupan.”
Terdahulu, lawatan kasih rumah ke rumah itu turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin bersama Timbalannya, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Turut bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Antara bantuan dan sumbangan yang disediakan MBMB kepada penerima adalah mengecat dinding, membetulkan peralatan yang rosak, membersihkan kawasan, selain turut menyampaikan sumbangan perkakas rumah seperti kerusi, meja dan lain-lain lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.