Sorting by

×

SENYUMAN RAKYAT BUKTI KEJAYAAN WRUR – KM

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

DUYONG 26 Julai – Usaha Melaka merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang kini sudah memasuki edisi keenam mula menujukkan kejayaan apabila ia mendapat reaksi cukup positif dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan sebenar WRUR bukanlah dinilai pada gedung pencakar langitnya, bukan juga pada lebuhraya yang terbentang luasnya.

Sebaliknya, beliau berkata, kejayaan itu diukur pada wajah-wajah rakyat yang tersenyum kerana mereka merasa dilihat, didengar dan dibela.

“Inilah hasrat sebenar Kerajaan Negeri memilih untuk turun ke lapangan, menjengah kampung dan taman perumahan, bertemu masyarakat desa dan bandar, merapatkan jurang sekali gus menyelami denyut nadi kehidupan rakyat dengan lebih dekat.

“Dari kampung ke bandar, dari pesawah ke peniaga kecil, dari ibu tunggal ke pelajar, Kerajaan Negeri sentiasa memberi sentuhan yang adil tanpa mengira warga kulit mahupun agama dan bangsa.

“Sesungguhnya, tiada siapa yang harus ketinggalan dalam arus pembangunan yang sedang kita gerakkan bersama dalam membina negeri Melaka yang lestari dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di Dewan Terbuka Semabok Dalam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Tambah Ketua Menteri, Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan rakyat sebagai paksi utama dasar dan tindakan, justeru, melalui pendekatan merakyatkan pentadbiran ini, segala suara rakyat sama ada berupa aduan, cadangan mahupun permasalahan akan diberi perhatian yang sewajarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

797
Kongsi :
Previous post ENAM PENCAPAIAN UTAMA WRUR DUYONG
Next post WRUR BERJAYA SENTUH HATI ORANG DUYONG