Sorting by

×

SERBUAN ‘CALL CENTRE’ BONGKAR MAKMAL DADAH RM86.78 JUTA

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 11 Mac – Sebuah premis yang pada awalnya disyaki beroperasi sebagai pusat panggilan bagi kegiatan penipuan dalam talian (scammer) rupa-rupanya menjadi sarang makmal pemprosesan dan penyimpanan dadah bernilai RM86.78 juta.

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menyerbu tiga premis kediaman di sekitar Melaka Tengah pada 6 dan 8 Mac lalu serta menahan lima individu termasuk seorang wanita berusia antara 23 hingga 55 tahun.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam serbuan pertama pada 6 Mac lalu di sebuah premis di Taman Puncak Bertam, polis menahan tiga suspek serta merampas 12 bungkusan dadah jenis Erimin 5 seberat 1.73 kilogram (kg).

Katanya, penahanan itu membawa kepada serbuan dua lagi premis di Taman Kenanga dan Taman Satu Krubong yang dijadikan makmal pemprosesan serta penyimpanan dadah dua hari kemudian.

Beliau berkata, hasil serbuan di ketiga-tiga premis itu, polis merampas dadah jenis Methylenedioxyamphetamine (MDMA) dalam bentuk cecair dan serbuk seberat 591.56 kg; pil ekstasi seberat 0.17 kg; Erimin 5 (1.88 kg) dan ketamin (1.01 kg).

“Serbuan ini bermula daripada operasi pihak JSJK Bukit Aman yang mendapat maklumat mengenai lokasi ‘calling centre’, namun apabila serbuan dibuat sebenarnya premis itu dijadikan stor penyimpanan dadah.

“Susulan itu, pihak JSJN Melaka membuat tindakan lanjut dan menemui dua lagi premis yang dijadikan stor penyimpanan dadah serta tempat pembungkusan dadah bagi pasaran tempatan.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM86.78 juta dan boleh merosakkan kira-kira 1.1 juta pengguna,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.

Hussein berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif sejak enam bulan lalu dengan menjadikan rumah sewa sebagai makmal haram untuk memproses dadah serta stor penyimpanan sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

Jelasnya, bekalan dadah dipercayai diperoleh dari Lembah Klang sebelum diproses dan dipasarkan di Melaka khususnya di pusat hiburan.

“Sindiket ini mencampurkan dadah ke dalam minuman seperti jus, herba Cina, minuman coklat dan teh sebelum dijual kepada pelanggan di pusat hiburan pada harga antara RM300 hingga RM500 sebotol.

“Minuman yang dicampur dadah ini tidak dijual di pasaran luar sebaliknya diedarkan di premis pusat hiburan dan dalam kalangan individu rapat,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek pertama dan kedua dipercayai bertindak sebagai koordinator, suspek ketiga sebagai penjaga stor manakala suspek keempat dan kelima sebagai ‘runner’ sindiket.

Beliau berkata siasatan juga mendapati sindiket menerima tempahan melalui telefon dan polis turut merampas sebuah buku lejar yang dipercayai mengandungi rekod tempahan serta urus niaga berkaitan pengedaran minuman tersebut.

“Saringan awal ujian air kencing mendapati suspek kelima positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek pertama dan keempat mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

“Suspek pertama hingga ketiga direman tujuh hari sehingga 12 Mac manakala suspek keempat dan kelima direman lima hari hingga 13 Mac bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

429
Kongsi :
Previous post BARU DUA BULAN, ORANG MELAKA RUGI RM11.78 JUTA JADI MANGSA JENAYAH SIBER
Next post LOT KEDAI ‘VIBE’ ANAK MUDA DI TENGAH BANDAR