
SERONOK LAYAN RAGAM GAJAH BETINA ZOO MELAKA
AYER KEROH 13 Februari – Ada yang manja, ada yang degil tidak kurang ada juga yang kuat sentap. Itu antara karakter tiga ekor gajah betina yang sering mencuit hati pengunjung di Zoo Melaka.
Menurut panjaga gajah Zoo Melaka, Muhamad Firdaus Muhammad Faizal, setiap gajah di taman haiwan itu mempunyai karakter unik tersendiri, selain boleh menunjukkan emosi seperti manusia.
Jelasnya, gajah tertua di zoo berkenaan dinamakan Hani, di mana ia merupakan gajah yang berasal dari Thailand berusia 53 tahun.
Selain itu, ujarnya, Zoo Melaka turut memiliki Mala, gajah betina berusia 21 tahun berasal dari Pahang dan yang termuda merupakan Lili, berusia 18 tahun berasal dari Johor.
“Sepanjang menjadi penjaga gajah ini, bagi saya yang paling manja adalah Mala, namun pada masa sama ia juga menjadi yang paling degil.
“Manakala Hani yang merupakan gajah tertua pula yang paling kuat merajuk, terutamanya jika kami penjaga haiwan melebihkan gajah-gajah yang lain.
“Walaupun begitu, Hani bukanlah jenis yang merajuk agak lama, sebaliknya mudah dipujuk semula. Walaupun mereka adalah haiwan, namun, mereka juga ada emosi dan boleh menunjukkannya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Muhamad Firdaus, gajah-gajah di Zoo Melaka tidak begitu cerewet soal makanan dan mudah untuk dijaga.
Katanya, kebiasaan diet gajah di Zoo Melaka adalah seperti rumput nappier dan daun nangka, selain pelbagai jenis buah-buahan seperti tembikai, pisang dan labu.
“Kebiasaannya, awal pagi kita akan bermula dengan memberi gajah makan dan selepas itu kita membuka ‘feeding time’ untuk pengunjung.
“Pada jam 1 tengah hari, kita akan menutup seketika kaunter gajah untuk kita beri makan tengah hari dan selepas itu ‘feeding time’ dibuka semula. Selepas zoo ditutup pada jam 4.30 petang kita akan menyediakan pula makanan untuk gajah-gajah ini sehingga malam,” katanya.
Jadi, kepada orang ramai yang ingin mengetahui dan mengenali karakter unik gajah, apa kata anda datang sendiri ke Zoo Melaka untuk merasai pengalaman cukup bermakna ini bersama keluarga.
Zoo Melaka dibuka setiap hari iaitu bermula jam 10 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat dan 9 pagi hingga 6 petang pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati ‘Night Safari’ yang hanya dibuka pada Sabtu minggu pertama setiap bulan iaitu bersempena Melaka Bila Larut Malam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


