
SERUMPUN RACE SPECIAL EDITION 2025 ANGKAT POTENSI ANAK ISTIMEWA
BANDA HILIR 5 September – Program Serumpun Race Special Edition 2025 berlangsung sekitar Banda Hilir menjadi medium pendedahan kepada masyarakat mengenai potensi anak-anak istimewa di negeri ini.
Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Nur Shahirah, Merlimau, Normah Said berkata, sebelum ini program itu cuma dilaksana dalam skala kecil sahaja.
Namun katanya, bagi mendapatkan impak lebih berkesan kali ini pihaknya membuka penyertaan lebih ramai yang melibatkan anak-anak PPDK seluruh negeri serta pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Katanya, program itu bukan sahaja membawa anak istimewa mengenali lokasi pelancongan dan warisan Melaka, malah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kemampuan mereka.
“Kita mahu mereka diraikan sama seperti anak-anak normal lain dengan semangat keberanian, kerjasama dan kemerdekaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelepasan Serumpun Race Special Edition 2025 di Muzium Rakyat, di sini, semalam.
Majlis itu disempurnakan Exco Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), Dr. Zool Raimy Abdul Ghaffar bersama kenamaan lain.
Normah berkata, apa yang menarik penganjuran Serumpun Race Special Edition 2025 pada skala lebih besar kali ini mendapat sokongan amat positif dalam kalangan ibu bapa.
“Selama ini ada sahaja ibu bapa yang jarang membawa anak-anak istimewa ini keluar rumah, namun dengan adanya pendedahan seperti ini memberi keyakinan baharu kepada anak-anak dan juga keluarga,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang sentiasa mendukung usaha menjadikan Melaka sebagai negeri mesra anak istimewa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.