
SETENGAH ABAD MENUNGGU, AKHIRNYA GERAN TANAH ‘DIGENGGAM’
REMBIA 16 Ogos – Penantian hampir setengah abad penduduk di Jalan Keretapi Lama, Kampung Pengkalan dan Seri Pengkalan, untuk memiliki geran tanah sendiri berakhir apabila permohonan mereka akhirnya diluluskan.
Seramai 47 pemohon penempatan itu yang berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia menerima surat kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) dengan Notis 5A.
Lebih istimewa apabila dokumen berkenaan disampaikan sendiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Dewan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), di sini, semalam.
Penerima Surat Kelulusan PTK Jalan Keretapi Lama, R Palanisamy, 49, menetap di situ sejak lahir, berkata dia dan keluarganya telah memohon geran sejak lebih 15 tahun lalu, termasuk dua permohonan Terdahulu dihantar bapanya.
“Sebelum ini, kami dianggap setinggan walaupun telah lama menetap dan membina rumah di sini, sekarang berakhir sudah penantian kami.
“Selepas menerima geran ini, mudahlah urusan kami untuk membaik pulih rumah yang sering dilanda banjir,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.
Sementara itu penerima Surat Kelulusan PTK di Seri Pengkalan, PM Nalla Kumar, 50, berkata keluarganya telah memohon geran tanah terbabit sejak dia berusia 13 tahun.
“Memang terlalu lama, dari zaman saya remaja hingga kini sudah menjadi bapa baaru permohonan ini diluluskan. Sebelum ini mahu bertani atau buat rumah tidak boleh kerana tiada kelulusan.
“Sekarang sudah lega apabila diluluskan. Mahu buat apa-apa sudah tidak bimbang,” jelasnya yang turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.