Sorting by

×

SI CILIK TERUJA ‘NAIK HAJI’

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

DUYONG 17 Mei – Keterujaan kanak-kanak menyertai Haji Kids Kembara ke Baitullah bukan sahaja memberi pengalaman baharu, malah menggembirakan ibu bapa yang melihat anak-anak mereka mula mencintai dan mempelajari ilmu berkaitan Rukun Islam kelima itu sejak kecil.

Zamrah Halil, 40, antara ibu bapa yang tidak melepaskan peluang membawa dua anaknya yang berusia 11 tahun dan enam tahun menyertai program simulasi haji itu yang diadakan di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit.

“Program ini sangat baik dan saya amat berpuas hati. Sejak kecil lagi anak-anak saya sudah menyertai program sebegini di sekolah, tapi tahun ini pertama kali sertai acara besar macam ini.

“Sejak malam mereka sudah teruja dan bangun seawal pagi lagi. Apabila sampai sahaja jelas terpancar keseronokan di wajah mereka yang rasa seperti betul-betul ‘naik’ haji,” kata ibu kepada empat anak itu.

Sementara itu, Nurfazwin Ab Rasid, 32, pula membawa anak sulung lelaki berusia enam tahun yang sudah menunjukkan minat terhadap program itu sejak diperkenalkan melalui satu rakaman video.

“Alhamdulillah, anak saya sangat teruja dan seronok dan sebagai ibu saya sangat menyokong agar program seperti ini diperluaskan lagi,” katanya.

Whatsapp image 2025 05 17 at 13.42.20
IBU bapa yang ditemui Melaka Hari Ini pada program berkenaan.

Mohd Ridzwan Saidin, 45, pula menyertai program berkenaan bersama tiga anaknya yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun dan menyifatkannya sebagai satu bentuk ilmu yang wajar diketengahkan sejak kecil.

“Sebagai Muslim, kita amat menyokong program seperti ini. Ia memberi pendedahan awal kepada anak-anak tentang ibadah haji secara praktikal,” katanya.

Program Haji Kids Kembara ke Baitullah hari ini menyaksikan 1,500 peserta kanak-kanak lengkap berpakaian ihram menjalani simulasi ibadah haji termasuk tawaf, sa’i, wukuf dan melontar jamrah secara simbolik.

Terdahulu majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Warnakala Studios Sdn Bhd Hairul Faizal Izwan Ahmad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1571
Kongsi :
Previous post STAF UTEM MAUT KANCIL DIREMPUH 4X4
Next post DASAR MELAKA RANCAKKAN PELUANG PEKERJAAN BAWA IMPAK KEPADA BELIA