Sorting by

×

SIARAN MEDIA ‘GIVEAWAY GADIS QS OFFICIAL’ PALSU – KP MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 16 Mei – Polis Melaka meminta orang ramai agar tidak terpedaya dengan penyebaran gambar yang mengandungi siaran media daripada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman berkaitan penganjuran ‘Program Giveaway Gadis QS Official’.

Ketua Polis Melaka Dato’ Dzulkhairi Mukhtar berkata, ia berikut kandangan yang terdapat dalam gambar dikirim menerusi aplikasi Whatsapp itu adalah palsu dan tidak benar.

Malah, ujar beliau Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman juga mengesahkan tidak pernah mengeluarkan sebarang siaran media berhubung penganjuran program tersebut.

“Pada petang semalam, satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Polis Daerah Jasin kerana menerima satu pesanan menerusi aplikasi Whatsapp daripada orang awam berkaitan penyebaran gambar yang mengandungi siaran media disyaki palsu itu.

“Kandungan itu menyatakan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) meluluskan dan bertanggungjawab atas aktiviti perkongsian hadiah kepada Gadis QS Official dan mereka yang bertuah menerima hadiah daripada penganjur ‘giveaway’ di minta mematuhi peraturan ditetapkan, termasuklah kononnya perlu membayar yuran cagaran untuk mendapatkan hadiah.

“Justeru, laporan dibuat agar masyarakat tidak percaya atau terpedaya dengan pihak yang menyalahguna nama PDRM di laman sosial dengan mewujudkan hantaran palsu bagi tujuan menganiaya orang lain,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahguna kemudahan rangkaian yang boleh memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dzulkhairi turut menasihati orang ramai khususnya rakyat Melaka agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang penyebaran video, gambar serta berita tidak sahih yang diragui.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

575
Kongsi :
Previous post SK KRUBONG 2 SIAP TAHUN INI, LERAI DILEMA KEPADATAN PELAJAR
Next post 28 TAHUN BERSARA, JASA JAHARA DIHARGAI SK PAYA RUMPUT